'Specialist Liga M' bakal gugat mahkota JDT musim depan


  • Podium
  • Rabu, 12 Okt 2022

Dominasi JDT dalam Liga Super sangat sukar digugat sejak 2015.

BEKAS ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berjaya mengekalkan rekod 100% kemenangan di dalam semua tiga perlawanan yang dilalui bersama Selangor FC sejak dilantik sebagai pengendali baharu pasukan itu pada bulan lalu.

Ini bermakna Selangor kini berjaya mengumpul sembilan mata maksimun dan menduduki tangga kelima Liga Super Malaysia selepas menempuhi 21 perlawanan dengan mata terkumpul 29 mata.

Walaupun masih awal untuk menilai prestasi sebenar pasukan itu namun sejak dikendalikan oleh Cheng Hoe, perkembangan positif yang dilalui oleh skuad Red Giants tidak boleh dipandang mudah pihak lawan.

Dalam perlawanan pada Selasa, Selangor meneruskan lagi momentum kemenangan mereka apabila berjaya menewaskan Sarawak United 1-0 di Kuching, Sarawak.

Tambah menarik lagi, Selangor kini berjaya menghasilkan tujuh gol dan tidak dibolosi dalam semua tiga perlawanan di bawah kendalian jurulatih berusia 54 tahun itu.

Selangor 1

Selangor meneruskan lagi momentum kemenangan mereka apabila berjaya menewaskan Sarawak United 1-0 di Kuching, Sarawak. Facebook/Selangor

Menerusi satu hantaran di Facebook Liga Super Malaysia pada Rabu, dia menyatakan bahawa Cheng Hoe mempunyai cara tersendiri untuk membawa Selangor kembali pada zaman kegemilangannya.

"Dibawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe, pasukan Selangor FC mendapat kemenangan ketiga berturut-turut.

"Tan Cheng Hoe mempunyai ramuan yang sangat baik untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak skuad Selangor pada musim depan," katanya dalam Facebook.

Manakala di ruangan komen pula rata-rata penyokong pasukan lawan turut merasakan Cheng Hoe bakal menggugat mahkota Johor Darul Takzim selaku juara bertahan bermula musim depan.

"Mantaplah King dengan kedatangan Tan Cheng Hoe, musim depan memang penuh persaingan ini," kata Alexzandro Avadto JDT.

"Tahun depan liga jadi lebih meriah, JDT dah ada pencabar seperti Selangor, Sabah, Terengganu dan Perak," jelas Nor Din.

"Harap tahun depan boleh saingi JDT, baru seronok, ini nak harapkan negeri sendiri Melaka, hancur sebab tak bayar gaji punya pasal," luah Mohd Aliff Samat.

"TCH memang specialist Liga M, macam di Kedah, menang pun tak banyak gol, tapi sukar dibolosi," tulis Ahmad Salji.

Selangor 3

Cheng Hoe pernah menerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016 berikutan persembahan yang konsisten bersama Kedah. Facebook/Selangor

Cheng Hoe, mempunyai pengalaman memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021 dengan mempunyai pencapaian muncul sebagai Naib Juara Piala AFF 2018.

Di peringkat kelab pula, Cheng Hoe pernah bergelar ketua jurulatih Kedah FA dengan mencapai kejayaan apabila menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.

Ketika berada di pasukan itu juga, dia merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016 berikutan persembahan yang konsisten bersama Kedah.

Selangor akan berhadapan dengan Penang FC pada Sabtu (15 Oktober) sebelum menutup tirai saingan Liga Super pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram