Azraai Khor 'balun' pihak main sentimen anak jati jika 'reject' Nafuzi Zain


  • Podium
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Nafuzi dikaitkan dengan perpindahannya ke KDA FC pada musim depan. — Facebook TFC

DARI hanya dilantik sebagai jurulatih interim ke ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dikatakan semakin hampir meninggalkan pasukan Pantai Timur itu bagi meluaskan lagi pengalamannya bersama kelab lain.

Desas-desus Nafuzi bakal mengambil ‘angin’ baharu itu semakin dikukuhkan apabila pemerhati sukan, Fina Nasrom menyatakan pada laman Twitter miliknya bahawa pengendali berusia 44 tahun itu bakal mengemudi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2023.

Sesetengah penyokong Sang Kenari menyambut baik kehadiran Nafuzi ke Darul Aman namun ada juga yang kurang berminat dengan kedatangan jurulatih itu ke pasukan Hijau Kuning.

Ini kerana pengendali kelahiran Kelantan itu dikatakan tidak memenuhi salah satu kriteria mereka iaitu bukan jurulatih kelahiran negeri Kedah.

Isu anak jati sering dibicarakan oleh penyokong Kedah kerana bagi mereka keutamaan perlu diberikan kepada jurulatih ataupun pemain sesebuah negeri itu untuk memajukan sukan tersebut.

WhatsApp Image 2022-09-16 at 7.51.45 PM

Peminat juga sering membicarakan isu anak jati dalam kalangan pemain. — Facebook KDA FC

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah yang juga bekas pengendali Kedah itu menolak idea untuk menggunakan anak jati bagi membimbing Kedah.

Tegasnya, sentimen anak jati itu tidak patut digunakan dalam bola sepak profesional kerana ia hanya menjejaskan kemajuan bola sepak negara.

“Kenapa nak main isu anak jati. Ini liga profesional. Semua negeri main anak jati?

“Apa jenis mentaliti, jika nak tengok anak jati, tengok liga kampung mereka. Dalam bola sepak moden atau profesional tiada anak jati,” katanya kepada Majoriti.

Tidak menafikan ada penyokong yang lebih memilih bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe (TCH) sebagai pengendali atas dasar anak jati dan pengalamannya bersama Sang Kenari, namun ia bukan tiket untuk mengatakan Nafuzi bukan figura yang layak bagi mengemudi skuad Hijau Kuning.

“Sudah tentu kalau TCH, dia dah main untuk Kedah, dia pernah bawa pasukan Liga Super. Dia tahu lebih bola sepak Kedah. Tapi kalau pasal kredibiliti anak jati tak boleh dijadikan alasan.

“Kena tengok macam mana dia bawa pasukan. Pasukan mana pun, jurulatih kena ada kerjasama dari pengurusan. Kalau pengurusan buat pandai, memang habislah,” jelasnya.

tchtch

Cheng Hoe sebelum ini membimbing Kedah pada 2014 hingga 2017. — Agensi

Sebelum ini Majoriti melaporkan bahawa bekas pengendali 69 tahun itu turut bersetuju jika Nafuzi dipilih menjadi jurulatih Kedah kerana rekod cemerlangnya bersama Terengganu FC.

Namun penyokong lebih menyukai jurulatih kelahiran Kedah untuk mengendalikan Sang Kenari kerana kejayaan anak jati seperti Cheng Hoe dan Azraai Khor sewaktu menguruskan pasukan itu dahulu.

Cheng Hoe sebelum ini pernah membimbing Kedah pada 2014 hingga 2017 dan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram