KHABAR angin kencang melaporkan gergasi bola sepak tempatan, Selangor FC (SFC) telah menemui calon sesuai untuk mengendalikan skuad Gergasi Merah dalam masa terdekat.
Menurut sumber, calon tersebut tidak berdarah asing dan memiliki rekod cemerlang dalam membangkitkan pasukan yang sudah terkulai layu itu sekali gus membawa kegemilangan kepada The Red Giant.
Tambahnya lagi, beliau yang berstatus bekas jurulatih kebangsaan itu akan terus bekerja kerana misi pertamanya adalah membimbing pasukan untuk mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.
Walaupun pengumuman rasmi dikatakan hanya akan dibuat pada Isnin depan, namun rata-rata media dan penyokong tempatan sudahpun membuat tekaan berdasarkan ciri-ciri diberi.
Nama paling banyak disebut peminat dan media tempatan adalah bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang dilihat menepati profil dinyatakan sumber tersebut.
Selangor dan Kedah kini sedang mencari 'penyelamat' untuk membangkitkan kembali skuad mereka. — Facebook/ Kedah Darul Aman FC
Sebagai jurulatih berpengalaman, pengendali berusia 54 tahun itu dianggap sebagai calon terbaik bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Selangor yang kini berada dalam episod gelap.
Sebagai rekod, jurulatih berasal dari Alor Setar itu pernah mengecapi beberapa kejayaan manis bersama pasukan Kedah termasuk Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Selain itu, dia juga pernah membawa skuad senior kebangsaan menjadi naib juara Kejohanan Piala AFF 2018 serta dinobatkan Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.
Biarpun perkhabaran itu diterima baik oleh penyokong Selangor yang terbuka menerima jurulatih tempatan setelah puas menolak DNA Jerman, namun ada pihak dikhabarkan mula tidak senang duduk.
Ia ekoran segelintir penyokong Kedah masih berharap magis Cheng Hoe dapat kembali membawa pasukan tersebut ke zaman kegemilangannya musim depan.
TCH pernah menjadi jurulatih kesayangan skuad Sang Kenari ketika zaman kegemilangan pasukan itu sedikit masa lalu. — Obses Bola
Salah seorang penyokong Sang Kenari, Mohd Izuan mengimbau kembali detik-detik indah Cheng Hoe ketika bersama skuad yang kini berada di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.
"Dia (Cheng Hoe) pernah jadi jurulatih Kedah dulu sebelum tiba-tiba kena lantik jadi jurulatih Harimau Malaya. Masa itu Kedah pencabar utama Johor Darul Takzim.
"Kalau tak ada 'tangan' yang ganggu masa itu. Saya rasa Kedah juara liga setiap musim. Tapi pencapaian paling hebat adalah meraih Piala Sumbangsih," katanya.
Min Yieh menyambung: "Kalau tak dapat Cheng Hoe, Kedah patut ambil Mora. Masalah keluarga Mora dah selesai sudah tu."
"Aku harap sangat dia (Cheng Hoe) balik Kedah. Tapi tak apalah. Pergi Selangor pun O.K. Jadi, betullah Kedah akan ambil Nafuzi Zain?" ujar Mohd Fariz.
Tanjung Tuku berkata: "Baik duduk Kedah. Tapi apapun, tahniah Cheng Hoe dari fans Kedah." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram