Singkirkan juara bertahan, Sang Penyu menangis kegembiraan


  • Podium
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Pemain TFC teruja menyingkirkan juara bertahan, KL City untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia. — Bernama

KELAB Terengganu FC (TFC) melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2022 dengan penuh bergaya apabila menyingkirkan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) City FC dengan skor selesa 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu.

Anak-anak buah Nafuzi Zain menempah slot ke separuh akhir menerusi agregat 4-1, selepas terlebih dahulu mengatasi KL City 1-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad minggu lepas.

Dalam aksi Sabtu malam, selepas TFC mendahului menerusi jaringan Manuel Ott pada minit ke-22, skuad pelawat yang juga finalis Piala AFC 2022 kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Haqimi Azim Rosli pada masa kecederaan babak pertama.

Bagaimanapun, TFC yang juga naib juara Liga Super itu tidak mahu menyerah kalah selepas kapten pasukan, Tchetche Kipre mudah menggunakan peluang keemasan untuk meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-64, sebelum jaringan Kpah Sherman pada lewat permainan berjaya memastikan kemenangan mutlak tuan rumah.

Dengan kemenangan itu, TFC bakal berdepan Selangor FC yang berjaya menyingkirkan Negeri Sembilan FC (NSFC) menerusi agregat 4-2, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam satu lagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Herlison Caion de Sousa Ferreira (minit ke-10) dan Yazan al-Arab (45), sementara gol NSFC pula diledak menerusi sepakan penalti Matheus Alves (24) dan Zaquan Adha Abd Razak pada penghujung babak pertama.

Satu lagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2022 pula menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC, yang sebelum ini mengecewakan Kelantan FC (agregat 8-0) dan Kuching City (agregat 2-1) di peringkat suku akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram