Senarai import Terengganu FC 2023 ‘bocor’, 2 nama besar menghitung hari ‘say goodbye’


  • Podium
  • Ahad, 13 Nov 2022

Terengganu FC meletakkan kepercayaan penuh ke atas semua tonggak import mereka musim ini. — Facebook/Terengganu FC

MUSIM ini mungkin musim bergemerlapan buat Terengganu FC apabila berjaya membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri arena bola sepak tempatan selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Penyu turut mara dengan bergaya ke peringkat akhir Piala FA dalam usaha mereka menjulang satu trofi selepas kali terakhir mengecapi kejayaan pada 2011.

Meskipun mereka tumpas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam final tersebut, ia tidak menghentikan penyokong tempatan daripada terus meletakkan nama mereka sebagai pencabar kejuaraan buat beberapa tahun akan datang.

Pujian itu dilihat diberikan kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang berjaya menerapkan gaya moden ke atas anak-anak buahnya dalam setiap perlawanan.

Selain itu, kemahiran jurulatih kelahiran Kelantan itu turut terserlah dalam mendapatkan pemain ketika jendela perpindahan yang dilihat sesuai dengan pendekatan taktikalnya.

Bagaimanapun, segelintir peminat setia Sang Penyu melihat keupayaan pasukan Pantai Timur itu musim ini adalah disebabkan kehadiran import yang menjadi tonggak skuad.

Perkara itu adalah disebabkan kemampuan mereka dilihat mampu mengubah gerak-geri pasukan secara menyeluruh selain tidak bergelut untuk mencipta keserasian bersama wajah-wajah tempatan.

Namun, dengan musim ini hampir melabuhkan tirainya, penyokong mula memasang cita-cita untuk melihat import baharu dibawa masuk bagi meningkatkan kualiti skuad tersebut.

Hal ini adalah disebabkan skuad Sang Penyu bakal bersaing di samping pasukan gergasi Asia selepas layak secara automatik ke Piala AFC musim depan.

Di samping itu, kelihatan juga beberapa luahan di media sosial yang berharap pemain sedia ada dikekalkan meskipun terdapat usaha daripada kelab Liga Malaysia lain untuk menyambar mereka.

Menerusi satu perkongsian penyokong Terengganu FC, Nang Legend Terengganu FC, dia melihat terdapat beberapa tonggak import wajib disambung kontraknya.

"Pape Diakite, Habib Haroon, Tchetche Kipre, Kpah Sherman dan Petrus Shitembi perlu dikekalkan selepas mempunyai satu musim yang cemerlang bersama kelab ini," katanya.

Kesemua pemain itu dilihat sebagai antara pemacu di sebalik kejayaan Terengganu musim ini melihat kepada sumbangan dan kemampuan dalam posisi masing-masing.

Struktur fizikal Diakite sememangnya membawa perubahan terhadap benteng pertahanan selepas pemain dengan ketinggian 1.93m itu bijak menggunakan kelebihannya itu.

313410892_1590374284726580_5492999051288457960_n

Diakite (kiri) dan Sherman antara nama yang dikatakan bakal kekal bersama Sang Penyu musim depan. Facebook/Terengganu FC

Bagi Habib dan Shitembi pula, kehadiran mereka sebagai pemain tengah juga tidak boleh dipandang rendah selepas kedua-dua pemain mempunyai kemahiran dalam perana tersendiri.

Di posisi serangan pula, sumbangan Tchetche juga begitu penting buat pasukan selepas barisan kejurulatihan menaruh kepercayaan besar dengan memberi lilitan kapten kepada pemain berusia 34 tahun itu.

Semantara itu, Sherman juga tidak kurang hebatnya, lebih-lebih lagi apabila dia berjaya menemui rentak dalam saingan Piala Malaysia dengan enam gol daripada tiga perlawanan.

Perkara itu dilihat sudah cukup untuk menerangkan sebab di sebalik harapan penyokong Terengganu FC itu dengan kesemua mereka jarang mengecewakan setiap kali diturunkan.

Bagaimanapun, dia juga berkongsi sedikit khabar angin bahawa tiga lagi pemain kurang bersinar musim ini akan terus mengerah keringat buat pasukan pada 2023.

"Argzam Redzovic, Jordan Mintah dan Luke Woodland mungkin akan kekal musim depan kerana mereka semua masih mempunyai kontrak bersama kelab," jelasnya.

Musim ini, kesemua mereka perlu berpuas hati selepas hanya diberi peluang untuk beraksi bersama skuad simpanan, Terengganu FC II dalam Liga Perdana.

Jordan-Mintah

Mintah dipinjamkan ke skuad Warga Kota untuk mempamerkan bakatnya. Agensi

Penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah bukanlah seorang yang kurang memberi sumbangan, namun keputusan tersebut dibuat staf kejurulatihan untuk memberi ruang kepada Sherman dan Tchetche.

Bagaimanapun, ketika jendela perpindahan kedua musim ini, juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC bertindak menyambar khidmat pemain berusia 27 tahun itu selepas meledak enam gol dalam divisyen kedua itu.

Dia dijangka untuk kekal di Pantai Timur untuk musim 2023 selepas kontraknya dikhabarkan tidak akan tamat hujung musim ini selain berjaya membuktikan kemampuannya sepanjang berada di ibu kota.

Bagi Argzim pula, dia dilihat sebagai antara pemain yang mempunyai kemahiran tersendiri selepas beberapa aksi kurang meyakinkan bersama skuad senior musim lalu.

Kehadirannya dalam benteng pertahanan Sang Penyu juga dikatakan antara sebab pasukan tersebut lebih kukuh selepas hanya dibolosi sebanyak 18 kali dalam 18 aksi Liga Perdana.

created by InCollage

Argzim merupakan antara tonggak pertahanan Terengganu FC II musim ini. Facebook/Terengganu FC

Oleh itu, sekiranya dia dikekalkan, ia pasti tidak menimbulkan pelbagai keraguan buat penyokong selepas dia mampu dibawa masuk ke dalam pasukan utama untuk beraksi di pentas Asia musim depan.

Bagaimanapun, dalam senarai yang dikongsikan itu, terdapat dua nama yang dilihat tidak akan dikekalkan dengan kedua-dua mereka mempunyai sebab tersendiri.

Seperti dikatakan awal tadi, pemain kelahiran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Luke Woodland dikhabarkan untuk kekal selepas orang ramai mendapati kontraknya tidak akan tamat pada penghujung musim.

Perkara itu jelas membangkitkan kekecewaan dalam kalangan penyokong selepas pemain tersebut dikatakan kurang memberi sumbangan buat pasukan simpanan.

"Luke Woodland tu elok ditamatkan sahaja kontraknya, saya lihat dia kurang memberi perubahan buat skuad Terengganu FC II," kata Mohd Jefri Hsiham.

"Siapalah yang membawa masuk Woodland sebelum ini?" soal Ikhwan Zikri.

Luahan itu pastinya dikongsikan pihak pengurusan Sang Penyu selepas berasakan pemain kebangsaan Filipina itu bukanlah satu pemain yang mampu menyuntik perbezaan buat skuad mereka.

Namun, perkara itu pastinya terletak di tangan mereka selepas dia baru sahaja dibawa masuk awal musim lalu daripada kelab Thailand, Ratchaburi FC.

Bagaimanapun, rakan senegara Woodland juga dikhabarkan akan ditunjukkan jalan keluar ketika jendela perpindahan meskipun beraksi dengan baik musim ini.

Pemain tengah, Manuel Ott merupakan antara tulang belakang Sang Penyu selepas dia berjaya mengumpul lima gol dan lima bantuan dalam 21 aksi Liga Super.

314722304_1590374241393251_7594438459437600793_n

Kontrak Manny Ott dikhabarkan tidak akan dilanjutkan musim depan. Majoriti

Selain itu, pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman itu juga merupakan antara pemain yang kerap memberi sumbangan buat pasukan dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran berkualiti kepada rakan sepasukan.

Tetapi, baru-baru ini, muncul satu khabar angin di media sosial yang seakan-akan mengesahkan penghijrahan keluar Ott untuk digantikan dengan pemain kebangsaan Indonesia, Ricky Kambuaya.

Pemain yang ketika ini bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung dikatakan bakal berhijrah dengan beberapa sumber kuat melaporkan perkara tersebut.

Hal itu pastinya sukar untuk diterima penyokong Sang Penyu apabila kehadiran Ott dalam pasukan sering dinanti-nantikan selepas satu musim debut yang cemerlang.

Bagaimanapun, kesemua berita itu masih berstatus khabar angin dengan Terengganu FC masih berjuang di peringkat suku akhir Piala Malaysia selain jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Disember nanti.

Di samping itu, status Nafuzi sebagai ketua jurulatih juga masih berteka-teki dengan pengendali berusia 44 tahun itu dikaitkan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC beberapa minggu kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram