JUARA Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) menepati ramalan peminat bola sepak tanah air selepas menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia dengan bergaya bagi edisi 2022.
Kemenangan 5-0 yang dicatatkan ketika berdepan naib johan Liga Perdana, Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat menyaksikan skuad Harimau Selatan mara dengan agregat 8-0.
Perkara itu jelas menerima pujian daripada penyokong setia JDT yang tidak henti-henti memenuhi media sosial dengan kegembiraan dan keriangan selepas pertembungan itu.
Antara nama yang disebut-sebut sebagai faktor atas kemenangan itu ialah penyerang berbisa, Bergson da Silva yang meledak hatrik, sekali gus memberi kelebihan selesa buat pasukan tersebut.
Selain itu, ketua jurulatih, Hector Bidoglio juga menerima sokongan tidak putus-putus selepas pendekatannya untuk menurunkan pemain yang kurang mendapat minit permainan disenangi orang ramai.
Namun, di sebalik pujian itu, terselit satu wajah yang meraih pujian penyokong tegar Harimau Selatan selepas dia berjaya mencuri hati dalam aksi bertemu The Red Warriors (TRW) itu.
Selepas kerap kali disisihkan di bangku simpanan, Syahmi Safari diberikan peluang oleh Bidoglio untuk mengesahkan kemaraan mereka dalam kejohanan itu.
Percaturan jurulatih kelahiran Argentina itu menurunkan Syahmi ternyata berbaloi selepas bekas bintang Selangor itu menjaringkan satu gol cantik daripada luar kotak penalti pada minit ke-40.
Gol Syahmi (bawah) disamakan dengan jaringan Benjamin Pavard ketika Piala Dunia 2018. — Facebook/Darul Takzim FC & Johor FA
Percubaan itu jelas mengejutkan barisan pemain Kelantan FC termasuk penjaga gawang, Nik Amin Ahmad yang gagal menepis rembatan deras itu daripada menggegarkan gawangnya.
Perkara itu jelas mencuri tumpuan rata-rata penyokong Harimau Selatan sehingga ada yang mengganggap jaringan tersebut bertaraf dunia serta sukar untuk diulangi sesiapa sahaja.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Darul Takzim FC & Johor FA, mereka mendapati percubaan pemain berusia 24 tahun itu mirip dengan gol pemain Perancis, Benjamin Pavard ketika bertemu Argentina semasa kempen Piala Dunia 2018.
"Jaringan lima bintang daripada Syahmi Safari, tahniah," kata penyokong tersebut sambil menyertakan foto daripada kedua-dua momen menarik itu.
Hantaran itu berjaya menarik perhatian peminat tegar juara dua kali Piala Malaysia itu dengan Borhan Ani berhasrat untuk mencalonkan jaringan berkenaan dalam kalangan gol tercantik musim ini.
"Pada saya, boleh rasanya diletakkan sebagai pencalonan salah satu gol tercantik dalam Piala Malaysia tahun ini setakat peringkat separuh akhir sekarang," katanya.
Bagi Saufi Hatta Mohd Taib pula, dia begitu tergamam ketika menyaksikan jaringan itu, lebih-lebih lagi apabila berasakan ia bukanlah satu teknik yang mudah.
"Apabila saya tonton semula ulangan, cantik sahaja bola itu masuk di celah-celah pemain Kelantan FC, memang hebatlah Syahmi. Tahniah ya," katanya.
JDT selepas ini bakal bertandang ke Stadium Likas, Sabah pada Selasa untuk berdepan Sabah FC yang turut layak diri ke separuh akhir selepas menundukkan Kuching City FC.
Anak-anak buah Bidoglio pastinya meletakkan harapan tinggi untuk menjulang trofi berkenaan selepas hanya perlu berpuas hati dengan status naib juara pada edisi yang lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram