Elak insiden 'hand ball' TFC jejas fokus, KL City siap sedia rangka strategi baharu


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Pemain KLFC Zhafri Yahya (tengah) diasak pemain Terengganu FC dalam Suku Akhir Pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

KEKALAHAN Kuala Lumpur City (KL City) FC di tangan Terengganu FC 0-1 pada peringkat suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Ahad lalu meninggalkan parut pada barisan pemain The City Boys.

Skuad kendalian Bojan Hodak tersebut menerima kesan cukup besar terutamanya selepas rakaman perlawanan menunjukkan bola terlebih dulu terkena tangan pemain TFC sebelum Kpah Sherman meledak gol kemenangan pelawat pada minit ke-14.

Namun menerusi satu temu bual bersama media tempatan, pengendali berusia 51 tahun tersebut membuat keputusan untuk tidak memanjangkan isu pengadilan berkenaan kerana khuatir didenda oleh pihak berwajib.

Kini, juara bertahan itu tiada pilihan lain kecuali perlu memastikan kemenangan dengan margin dua gol pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini sekiranya mahu layak ke peringkat separuh akhir.

Enggan terus meratapi nasib atas kekalahan lalu, pemain pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mendedahkan pasukan itu menonton video perlawanan berulang kali bagi mencari strategi baharu untuk perlawanan kedua ini.

"Secara jujurnya, kami ingin fokus pada persiapan (berbanding menunding jari kepada pasukan lawan). Kami menonton semula perlawanan lalu agar tidak mengulangi kesalahan-kesalahan sama.

Giancarlo mahu terus sarung jersi KL City pada musim depan.— Facebook/ KL City FC

"Kami sangat bermotivasi untuk perlawanan seterusnya meskipun kalah pada suku akhir pertama. Nasib tidak menyebelahi kami kerana gol itu terkena tangan sebelum Terengganu melakukan jaringan.

"Untuk kami pula, pemain mempunyai beberapa percubaan dari jarak jauh, di mana kami cuba untuk terus mengasak kubu lawan, tetapi ia bagaikan mensia-siakan peluang.

"Saya rasa sasaran kami adalah untuk lebih fokus di hadapan pintu gol dan dari segi pertahanan pula akan terus berwaspada dan seterusnya kami serah kepada Tuhan," katanya kepada Majoriti.

Sebagai rekod, KL City FC mengejutkan pasukan Johor Darul Takzim dengan kemenangan 2-0 untuk merangkul gelaran Piala Malaysia 2021 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram