KHABAR angin perpindahan pemain dari satu kelab ke kelab lain semakin rancak diperkatakan oleh peminat bola sepak tempatan terutama menjelang tamatnya saingan Liga Malaysia (Liga M).
Bagi pemilihan pemain import, kebanyakan pengurusan kelab memiliki pilihan sama ada membeli import baharu atau 'mengitar semula' pemain-pemain yang sudah ada di dalam liga M.
Kelebihan merekrut semula pemain-pemain import daripada kelab-kelab sedia ada adalah mereka telah serasi dengan suasana dan rentak permainan liga tempatan sekali gus mengurangkan risiko 'lambat panas'.
Bagi tonggak pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco, 'pancingan' daripada kelab-kelab tempatan lain sememangnya membuatkan dirinya terharu, namun dia mahu kekal bersama skuad The City Boys.
"Saya masih lagi ada kontrak dengan KL City. Walaupun saya sangat terharu dengan keinginan pasukan lain untuk bekerjasama denga saya. Namun jiwa saya tetap bersama KL City dan saya sangat gembira di sini," katanya kepada Majoriti.
Sebagai rekod, pemain berusia 28 tahun itu menyertai The City Boys pada 2021 dan menjadi tonggak pertahanan yang membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia pada tahun sama.
Giancarlo pernah beraksi di samping Harry Kane, Luka Modric di kelab England, Tottenham Hotspur ketika berumur 18 tahun.
Pada musim keduanya bersama Bojan Hodak, pemain pertahanan setinggi 1.87m itu meneruskan prestasi cemerlangnya dengan memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu mara ke final Piala AFC.
Membuat penampilan sulung mereka dalam pertandingan peringkat Asia, KL City mencipta sejarah apabila garang mengetepikan Viettel dari Vietnam, PSM Makassar dari Indonesia dan ATK Mohun Bagan dari India.
Sepanjang kempen Piala AFC, pasukan KL City mencetak lima gol daripada enam perlawanan sebelum rebah di pentas final setelah ditewaskan 0-2 oleh kelab dari Jordan, Oman Al Seeb pada 22 Oktober lalu.
Mengulas mengenai peluangnya untuk dipanggil mewakili Australia ke kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar, Giancarlo terima hakikat bahawa dirinya bukan calon pilihan pengurus pasukan, Graham Arnold.
"Saya sudah lama menyimpan impian untuk menyarung jersi kebangsaan Australia, tetapi saya sering disisihkan daripada senarai skuad kebangsaan.
"Oleh itu, walaupun peluang saya seakan-akan cerah, namun saya telah tutup buku untuk mewakili negara (setelah pernah mewakili negara tersebut pada peringkat remaja). Di Australia, saya hanya peminat bola sepak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram