Lepas dedah cara cari pemain, Azraai Khor kongsi strategi julang ‘double treble’


  • Podium
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Hijau Kuning berjaya merangkul gelaran ‘double treble’ selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

SEBELUM ini bekas jurulatih berpengalaman Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Azraai Khor Abdullah berkongsi bagaimana dia mencari pemain, sekali gus berjaya membina skuad emas Sang Kenari pada musim 2006-2007 dan 2007-2008.

Pemain yang dicari sendiri oleh jurulatih kelahiran Kedah itu sememangnya membuahkan hasil kepada The Red Eagle apabila Sang Kenari berjaya merangkul gelaran ‘double treble’ selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Antara pemain yang dibarisi Kedah ialah Mohd Hasmawi Hassan, Hasmizan Kamarodin, Victor Andrag serta beberapa tonggak import, termasuk penyerang, Marlon Alex James, Nelson San Martin dan Cornelius Bernard Huggins.

Selain daripada pemain berkualiti yang dibawa masuk oleh Azraai Khor itu, strategi yang digunakan jurulatih berusia 70 tahun berkenaan juga menyumbang kepada zaman kegemilangan Kedah.

Azraai Khor berkata, semangat berpasukan antara pemain itu juga menjadi ramuan kepada kejayaan skuad Sang Kenari.

Screenshot 2022-11-11 at 9.35.24 PM

Azraai Khor menjadi jurulatih yang cukup disegani selepas membawa Kedah menjulang kejuaraan 'double treble'.

“Semangat pasukan itu memang betul-betul mantap, semua orang bermain untuk satu sama lain.

“Waktu itu, saya sangat bertuah kerana ketiga-tiga pemain import dalam tiga bahagian itu iaitu Cornelius Bernard Huggins mengawal, pemain tengah, Nelson, Marlon pula mempunyai kelebihan sebagai pemberi motivasi.

“Kita punya stail main di final, separuh masa pertama akan main high pressure supaya bagi kejutan pada separuh masa pertama,” katanya dalam satu temu bual bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Keyakinan pemain pada perlawanan itu juga terhasil selepas rancangan yang disusun Azraai Khor.

"Sebenarnya kita nak jaringkan gol terlebih dahulu. Dalam keadaan itu, rancangan masih lagi 'on' dan saya beritahu Pak Long (Radhi Mat Din), di situ kita nampak keyakinan setiap pemain.

“Final 2008, habis perlawanan itu kami dinobat sebagai Juara Piala Malaysia. Tercatat satu sejarah yang belum ada pasukan yang mampu lakukan dalam Malaysia ni.” jelasnya.

Selepas 14 tahun sejarah ‘double trouble’ tercipta, tiada lagi pasukan yang boleh mengalahkan rekod cemerlang pasukan Kedah itu.

“Sampai hari ini pun dah 14 tahun tapi kita tak nampak lagi dan sudah tentunya bukan satu jalan yang mudah. Kita sediakan macam-macam ke tahap itu. Masa saya bawa skuad Kedah itu, Sang Kenari merupakan pasukan tercorot dalam Liga Super.

“Semua sekadar ambil alih Piala Malaysia tapi orang kata berkat kesungguhan. Paling penting, saya rasa bertuah,” tambahnya.

kelantan

Kelantan memenangi gelaran treble pada 2012 di bawah kendalian Bojan.

Selain Kedah, Kelantan FA berjaya mengulangi kejayaan treble ketika Bojan Hodak membimbing The Red Warriors (TRW) pada 2012.

Sejarah ‘treble’ mungkin bakal dicipta lagi pada tahun ini oleh pasukan pemenang Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT).

Harimau Selatan kini hanya perlu mengekalkan momentum terbaik pada kejohanan Piala Malaysia bagi mencapai gelaran treble pertama mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram