‘Selalu nampak di Amanjaya Sungai Petani’, masa depan Baddrol Bakhtiar terjawab lepas julang Sabah FC


  • Podium
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Masa depan Baddrol bersama The Rhinos masih mengundang tanda tanya peminat khususnya penyokong Kedah.

SPEKULASI bintang Sabah FC, Baddrol Bakhtiar untuk kembali berbakti di bumi Kedah pada musim depan semakin rancak setelah pelbagai 'hint' berkenaan playmaker prolifik itu dilihat cenderung ke arah khabar angin tersebut.

Terdahulu, pemain berusia 34 tahun tersebut memuat naik video hitam putih yang menceritakan tentang kenangannya bersama Sabah FC pada musim ini.

Video tersebut disertai lagu Usik nyanyian Feby Putri itu seolah-olah memberi bayangan pengakhiran perjalanannya dengan skuad Sang Badak.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial berkenaan kelibat pemain berusia 34 tahun sering kelihatan di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah.

Tangkap layar komen 'fan' Kedah yang mencetuskan perbualan hangat di media sosial berhubung masa depan Baddrol.

Difahamkan, sejak menyertai Sabah awal musim ini, Baddrol masih berulang-alik ke Kedah memandangkan isterinya, Nur Izyan Mustafa Khalid dan anak-anak masih menetap di negeri jelapang padi itu.

Tinjauan Majoriti pada laman Linkedin mendapati, Nur Izyan merupakan pensyarah matematik dan statistik di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Alor Setar semenjak enam tahun lalu.

baddfam

Baddrol difahamkan masih berulang-alik ke Kedah bertemu isteri dan anak-anak sejak menyarung jersi Sabah musim ini. — Instagram/Baddrol Bakhtiar

Tak mustahil, faktor untuk berdekatan bersama isteri dan anak-anak menjadi sebab utama mendorong Baddrol kembali ke pangkuan Kedah musim depan.

Selain Kedah, dua lagi kelab berpangkalan di utara tanah air, Perak FC dan Penang FC juga berpotensi menjadi destinasi baharu Kapten Marvel jika benar beliau berhasrat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada The Rhinos.

Cuma pada masa sama, kedua-dua kelab itu tidak memiliki nilai sentimental yang tinggi seperti mana Kedah buat Baddrol. Jadi, potensi untuk Baddrol kembali bersama Sang Kenari lebih tinggi berbanding The Bos Gaurus dan The Panthers.

Begitupun, sebarang kontrak mungkin hanya dimeterai selepas Baddrol membantu Sabah FC menjulang Piala Malaysia musim ini.

Usaha Majoriti mendapatkan maklum balas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kamal Idris Ali tidak berjaya apabila beliau gagal dihubungi, sementara pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir juga enggan mengulas lanjut berhubung masa depan Baddrol.

Ketika ini, Baddrol sekali lagi dijangka menjadi nadi The Rhinos menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Johor Darul Takzim (JDT) pada Selasa.

Untuk rekod, Baddrol bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC sejak 2006 dan pernah membantu Harimau Muda memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011.

Pada 1 Disember 2021, skuad Sang Badak mengumumkan Baddrol secara rasmi berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Setakat ini, cuma pemain kelahiran Korea Selatan, Park Tae-su yang menyertai Sabah pada 2019, saja dilaporkan menandatangani kontrak lanjutan baharu selama dua tahun bersama Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram