KEKALAHAN 0-2 yang dialami Negeri Sembilan FC ketika suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor FC pada Ahad lalu menyukarkan kemaraan mereka ke semi final.
Skuad Jang terpaksa beraksi dengan 10 orang di Stadium MBPJ, Selangor untuk hampir 30 minit selepas pertahanan import, Herold Goulon dilayangkan kad merah.
Lebih teruk lagi, insiden itu berlaku dalam kotak penalti yang menyaksikan penyerang Gergasi Merah, Herlison Caion menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-56.
Bagaimanapun, skuad Jang mampu menarik sedikit nafas lega apabila penjaga gawang, Syihan Hazmi beraksi dengan cukup cemerlang dalam memastikan pasukannya tidak perlu bertungkus lumus di aksi kedua suku akhir.
Namun, anak-anak buah Tan Cheng Hoe bijak menggunakan kesempatan itu dengan menjaringkan gol kedua perlawanan menerusi pemain simpanan, Alifh Haiqal pada minit-minit akhir permainan.
Menjelang perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu, pasukan kendalian K Devan itu pastinya berhasrat untuk turun dengan lebih bersemangat.
Selain memastikan persiapan dibuat dengan lengkap, mereka juga pastinya bersedia dari segi mental selepas menyedari bahawa skuad Gergasi Merah bukanlah satu lawan yang mudah.
Skuad Jang tewas dengan dua gol ketika pertemuan di Stadium MBPJ Ahad lalu. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Barisan pemain juga pastinya mengharapkan suntikan keazaman daripada penyokong setia pasukan selepas aksi di tempat lawan kurang mendapat sambutan.
Tetapi, tinjauan di ruangan komen media sosial mendapati segelintir peminat tegar skuad Jang seakan-akan sudah mengibarkan bendera putih meskipun mempunyai 90 minit untuk mengubah nasib mereka.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Mohd Fazreel berkata, pertembungan itu merupakan satu misi mustahil buat juara Liga Super 2006 tersebut, lebih-lebih lagi dengan kemampuan Selangor FC ketika ini.
"Halangannya adalah kerana Negeri Sembilan sudah ketinggalan dua gol, kalau menentang Sarawak United, yakin juga untuk melakukan kejutan dan bangkit semula.
"Ini pula Selangor, sememangnya sukar dan lebih-lebih lagi mereka tidak pernah tewas ketika berada di bawah kendalian Cheng Hoe. Maaf, sekadar berpijak di bumi nyata," katanya.
Perkara itu turut dilaungkan Hadri Khairudin yang juga menyifatkan pertembungan dengan juara Piala Malaysia 33 kali itu bukanlah satu tugas mudah buat skuad Jang.
"Hanya nyanyian dalam sepi dan kerana mimpi itu tidak seindah realiti," katanya.
Bagi Laksamana Hang Tuah pula, dia masih meletakkan harapan ke atas keajaiban dalam perlawanan itu meskipun memahami cabaran yang perlu ditempuhi pasukan kesayangannya itu.
"Misi sukar bukan kerana kita perlu berdepan Selangor FC, tetapi kerana ketiadaan kesebelasan utama terbaik nanti. Misi sukar tetapi tidak mustahil, Hobin Jang Hobin," katanya.
Pada aksi Sabtu, Negeri Sembilan terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak berikutan penggantungan Goulon serta masalah kecergasan pemain seperti Gustavo dan Saiful Ridzuan.
Namun, Devan pasti tidak mahu ketiadaan itu merencatkan pendekatan taktikalnya dengan meletakkan pemain terbaik dalam usaha melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2011. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram