Penyokong The Rhinos simpati Damien Lim tahan sakit, layak dijulang hero


  • Podium
  • Ahad, 13 Nov 2022

Tangkap layar keadaan Damien ketika mengalami keletihan dan kesakitan di kakinya ketika berdepan Kuching City dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat.

SKUAD Sabah FC nyaris dimalukan Kuching City FC apabila terikat 1-1 ketika 90 minit masa sebenar aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat.

Mujurlah, rezeki tetap berpihak kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila berjaya memastikan slot ke separuh akhir menerusi jaringan kemenangan Taiki Kagayama pada masa tambahan, sekali gus mara dengan penuh bergaya menerusi agregat 2-1.

Ketika majoriti penyokong Sabah teruja pasukan itu bakal berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi empat terbaik Selasa ini, masih ada yang bersimpati dengan keadaan kesihatan yang dialami penjaga gol skuad Sang Badak, Damien Lim.

Menerusi gambar dikongsi oleh Mc Ken di Facebook, Damien dilihat letih dan menahan kesakitan apabila keadaan padang berlumpur selepas hujan lebat di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

"Kesian bah si Damien Lim ni. Mau menangis aku tengok keadaan dia begitu. Letih kesakitan sudah bah kakinya itu tapi dia tahan-tahan ja harap kasi spray kakinya.

"Masih ada lagi yang marah-marah pasukannya selepas dia selamatkan bola itu," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Melihat kegigihan Damien untuk menyelamatkan pasukannya, Mc Ken berharap supaya Damein diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan meskipun dibolosi ketika bertemu Kuching City.

"Ini kerana dia bertungkus lumus menyelamatkan Sabah FC elak daripada tersingkir Piala Malaysia," tambahnya.

Pertembungan suku akhir kedua itu menyaksikan The Cats memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan selepas pemain pertahanan, Ummareng Bacok menjaringkan gol sendiri pada penghujung perlawanan, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 1-1 selepas terlebih dulu seri tanpa jaringan dalam aksi suku akhir pertama sebelum ini.

Namun, perkara itu tidak melunturkan semangat anak-anak buah Kim Swee selepas pemain import sayap, Taiki Kagayama berjaya menanduk gol kemenangan beberapa minit memasuki masa tambahan, sekali gus menyambar slot semifinalis Piala Malaysia berdepan JDT pada Selasa.

Begitupun dengan tahap kecergasan semasa Damien, dia belum pasti diturunkan Kim Swee yang mungkin terpaksa menagih khidmat penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat ketika berentap bersama JDT nanti.

Kejayaan menewaskan Kuching City juga pastinya menaikkan semangat skuad Sang Badak selepas dilihat bergelut sepanjang perlawanan berikutan hujan lebat dan ketiadaan tonggak pasukan seperti Park Tae-Su. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram