Baru 2 bulan, sentuhan Cheng Hoe ubah nasib 3 tonggak Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Sentuhan Cheng Hoe jelas mengubah takdir dan kedudukan Selangor FC ketika ini.  — Facebook/Selangor FC

PERMULAAN musim yang sempurna buat Selangor FC bertukar tragedi selepas mereka mencatatkan kekalahan demi kekalahan dalam Liga Super dengan persembahan kurang menyenangkan di atas padang.

Penyingkiran di peringkat separuh akhir Piala FA terus-menerus membakar api kemarahan penyokong yang mula hilang sabar dengan barisan kejurulatihan diketuai Michael Feichtenbeiner.

Isu tersebut disedari pihak pengurusan yang seterusnya mengambil keputusan untuk memecat jurulatih kelahiran Jerman itu sebelum digantikan pembantunya, Nidzam Jamil.

Perkara itu bagaimanapun tidak mengubah nasib Gergasi Merah selepas gagal meraih sebarang keputusan positif sehingga meletakkan Selangor FC di tangga kesembilan liga.

311713940_535183881946678_5539625065669038078_n

Selangor akhirnya mampu tersenyum selepas siri-siri kekalahan pada awal musim. Facebook/Selangor FC

Oleh itu, dalam menambah baik prestasi pasukan, Pengerusinya, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin mengambil keputusan membawa masuk bekas pengendali Kedah FA, Tan Cheng Hoe.

Pelantikan itu pada awalnya mencetuskan 1,001 persoalan dalam kalangan penyokong yang seperti tidak yakin dengan sentuhan jurulatih itu untuk menutup tirai liga di kedudukan lebih baik.

Namun, Cheng Hoe tidak menunggu lama untuk mempamerkan kehebatan sentuhannya apabila dia merekodkan tiga kemenangan dalam empat aksi Liga Super, sekali gus meletakkan Selangor FC di tangga kelima.

Tidak cukup dengan itu, kemaraan Gergasi Merah ke suku akhir Piala Malaysia turut membuktikkan bahawa ketua jurulatih berusia 54 tahun itu merupakan individu yang sudah lama ditagih.

Selain berjaya menerap pendekatan taktikal yang optimum, Cheng Hoe juga dilihat mampu menyuntik nafas baharu buat anak-anak buahnya selepas kerap kali diletakkan di bangku simpanan.

Walaupun orang ramai pasti mengatakan hampir keseluruhan skuad mengalami perubahan, terdapat tiga pemain yang dilihat mempunyai nasib berbeza sejak ketua jurulatih itu dilantik.

1. Khairulazhan Khalid

Kehadiran pemain kelahiran Australia, Sam Sommervile ke dalam skuad Gergasi Merah pada awalnya tidak menjejaskan peluang penjaga gawang Selangor FC, Khairulazhan Khalid.

Perkara itu dapat dilihat apabila dia diturunkan dalam tujuh perlawanan pertama Liga Super dan hanya diletakkan di bangku simpanan pada pusingan awal Piala FA.

Namun, nasib tidak menyebelahi Khairulazhan apabila pertembungan dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada Jun menyaksikan penjaga gawang itu kerap melakukan kesilapan selain dibolosi sebanyak lima kali.

Sejak itu, barisan kejurulatihan mula menggugurkannya dan diletakkan di bangku simpanan dengan Sommervile diberi tanggungjawab penuh untuk aksi Liga Super sehingga menjejaskan prestasi Khairulazhan.

313101222_555943373204062_1927146320085655453_n

Khairulazhan berjaya mendapatkan semula rentaknya bersama Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, untuk aksi Piala Malaysia, Cheng Hoe mula mempercayai bekas penjaga gol Harimau Malaya itu untuk membantunya mendapatkan semula rentak dan gaya permainan.

Keputusan itu dilihat memberi pulangan lumayan selepas dia merekodkan tiga perlawanan tanpa dibolosi sehingga berjaya meletakkan semula namanya dalam radar peminat bola sepak tempatan.

Selain itu, terdapat juga luahan di media sosial yang berhasrat untuk melihat bekas pemain Pahang FA itu dipanggil semula ke kem Harimau Malaya untuk aksi Piala AFF 2022.

Meskipun ia hanya cita-cita penyokong, perkara itu seperti membuktikan sentuhan Cheng Hoe ke atas skuad Gergasi Merah menguntungkan Khairulazhan.

Setakat ini, hanya Selangor FC dan JDT merupakan pasukan yang tidak dibolosi dalam tiga aksi Piala Malaysia dengan penjaga gol kelahiran Pahang itu diturunkan dalam kesemua perlawanan.

2. Norhakim Hassan

Walaupun usia penyerang sayap Selangor FC, Nor Hakim Hassan sudah mencecah 31 tahun, ia tidak menghalang barisan kejurulatihan untuk kerap menurunkannya pada penghujung perlawanan.

Selain mempunyai kelincahan untuk menggelecek bola, bekas pemain Perak FA itu turut mempunyai kebolehan untuk melakukan hantaran lintang kepada rakan sepasukan.

Sumbangan itu dapat dibuktikan selepas dia berjaya merekodkan tiga jaringan dan satu bantuan gol dalam kempen Liga Super yang terumbang ambing buat Gergasi Merah.

313175439_555490116582721_3948311423417027634_n

Nor Hakim merupakan tonggak Selangor FC selepas kehadiran Tan Cheng Hoe. Facebook/Selangor FC

Namun, sentuhannya dalam pasukan semakin ditagih sejak kehadiran Cheng Hoe dengan kemampuannya untuk beraksi di posisi sayap kiri merupakan antara tulang belakang kejayaan Selangor FC ketika ini.

Dalam empat perlawanan Liga Super, Hakim berjaya mengumpul dua gol dengan salah satu daripadanya hadir untuk mengikat Penang FC daripada mencalarkan rekod tanpa kalah mereka.

Selain itu, Cheng Hoe turut memberikannya kepercayaan dengan memulakan majoriti aksi Selangor FC meskipun dengan kehadiran bakat muda, Syahir Bashah.

Tambahan pula, aksi di atas padang juga menunjukkan perbezaan ketara dengan pemain kelahiran Terengganu itu dilihat lebih bersemangat setiap kali diturunkan.

3. Hein Htet Aung

Ketika jendela perpindahan 2020, Selangor FC melakukan percaturan berisiko apabila membawa masuk pemain muda Myanmar, Hein Htet Aung dari tanah kelahirannya.

Perkara itu seperti kurang disenangi penyokong Gergasi Merah yang mengharapkan pelaburan lebih besar dibuat pihak pengurusan untuk menajamkan lagi jentera serangan.

Namun, musim ini, seperti Nor Hakim, dia berjaya mengejutkan penyokong Selangor dengan memperkukuhkan kehadirannya dalam kesebelasan utama selepas merekodkan dua gol dan dua bantuan.

241307567_4371351089587155_7179089170357096722_n

Hein Htet Aung mula menunjukkan bakatnya selepas bergelut pada awalnya. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, kehadiran Cheng Hoe berjaya menaikkan lagi nama pemain berusia 21 tahun itu selepas dia bermain dalam hampir kesemua perlawanan di bawah kendalian jurulatih itu.

Sumbangannya juga tidak kurang hebatnya selepas menjaringkan satu gol dan dua bantuan dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.

Di samping itu, Selangor FC juga meletakkan tanggungjawab besar di bahu Hein, sekali gus memberi bayangan bahawa dia akan dikekalkan untuk musim depan.

Perkara itu juga mendapat pujian daripada penyokong yang mengharapkan khidmat pemain kebangsaan Myanmar itu dapat terus dicurah untuk masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram