KHABAR angin yang mendakwa bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC), Datuk Justin Lim meletakkan jawatan dan meninggalkan pasukan tersebut adalah tidak benar.
Jelas beliau, meskipun mengakui sedikit kecewa apabila wujudnya isu pegangan saham dalam MUFC, namun beliau tetap komited untuk terus menerajui pasukan berkenaan.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, spekulasi yang dilihat sengaja diada-adakan segelintir pihak itu adalah tidak benar, memandangkan perkara berbangkit kini dalam proses penyelesaian dan kata sepakat telah dicapai selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan.
Seperti biasa, setiap kenyataan dikeluarkan oleh pengurusan kelab pasti mendapat respons para penyokong.
Bagi Encik Pejey, dia menganggap bahawa orang ramai yang tidak memahami masalah sesebuah pasukan, akan terus mempertikai segala perkara berkaitan pasukan terbabit termasuk pegangan saham.
"Transperancy audit kelab terus senang. Beritahu direct apa masalah dan penyelesaian.
"Bagi semua faham apa yang telus, apa yang nak pertikai. Kalau tak ada masalah, tak adalah point orang nak pertikai bagai.
"Transperancy tu penting. Kalau tak, geng-geng yang tak berkenaan mulalah buat rumour (khabar angin) itu ini bagai," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Pemain Melaka United dipercayai berdepan dengan tunggakan gaji selama hampir empat bulan. — Facebook/Melaka United FC
Seolah-olah muak dengan skrip sama dikeluarkan oleh pihak pengurusan, Benjamin Cheh Ming Hann berkata, masalah akan kerap timbul sekiranya skuad Hang Jebat diuruskan oleh pihak yang sama.
Menerusi pihak pengurusan sama, dakwanya, isu tunggakan gaji yang berlaku sejak beberapa tahun dahulu masih tidak selesai.
"Masalah utama adalah pada pihak pengurusan. Selagi mereka semua di dalam, masalah tak akan diselesaikan atau diperbaiki.
"Dah loya nak sembang masalah yang sama setiap musim. Isu gaji, potong mata. Kita sebagai peminat dah malas nak melayan ini. Fire the whole management," ujarnya.
Aiz Gallagher menulis: "Okay, apa pula selepas ni? Pemain dah tak ada hati nak main. Apa perancangan jangka panjang? Dari 2017 hingga 2022, isu sama je. Muak."
Botak Mohamed Faez Salleh memberi saranan: "Jangan pakai penyelesaian bersama ni. Dah berapa kali dah bos. Utamakan penyelesaian mutlak. Buat apa MUSA (Persatuan Bola Sepak Melaka United) nak pegang share? Tak ada manfaat pun dia bagi. Zamsaham pegang 100 peratus, tengok macam mana dia buat untung untuk kelab."
Terdahulu, media tempatan melaporkan pemain Melaka United sudah hampir empat bulan tidak menerima gaji, sekali gus menjejaskan kehidupan mereka yang mempunyai komitmen sendiri termasuk perlu menyara keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram