Kontrak bakal tamat penghujung November, apa nasib Bergson da Silva?


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Bergson da Silva merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super dengan jaringan sebanyak 48 gol setakat ini. —

KONTRAK Bergson da Silva bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bakal tamat menjelang penghujung November ini dan berita itu mengundang pelbagai spekulasi berkenaan statusnya sebagai pemain import sama ada disambung ataupun tidak.

Berdasarkan rekod cemerlang di JDT, pemain berusia 31 tahun itu telah mewakili pasukan itu dalam 47 perlawanan dengan jumlah jaringan sebanyak 48 gol dan 11 bantuan gol setakat ini.

Kini, Bergson menghuni tangga teratas sebagai penjaring gol terbanyak di Liga Malaysia dengan 17 gol untuk musim 2022 dan telah membantu pasukan itu melakar sejarah baharu di ACL 2022 pada musim kali ini dengan melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik di Asia.

Gandingan duo Fernando Forestieri dan Bergson da Silva sering memberi ancaman besar pada pertahanan pasukan lawan. — Facebook/Johor Southern Tigers

Rata-rata penyokong berpendapat bahawa pemain itu harus dikekalkan dan disambung kontrak untuk musim hadapan berikutan persembahan serta gaya permainan yang menarik telah ditampilkan oleh pemain itu sejak hari pertama dipinjamkan dari kelab Brazil, Fortaleza ke JDT.

Mereka sebulat suara inginkan pemain itu untuk kekal bersama Harimau Selatan, dan dengan itu pujian demi pujian dihamburkan buat penyerang berbisa itu.

Man Bergers berkata, "Bergson merupakan penyerang terbaik yg dimiliki JDT, dia seorang yang rajin, bijak mencari peluang dengan tindakan penyudah yang jarang menghampakan.. saya sangat berharap semoga kontraknya dilanjutkan.

"Lebih-lebih lagi gandingannya bersama Fernando Forestieri cukup mantap, keserasian mereka cukup untuk buat pertahanan lawan goyang, itulah yang sering ditunggu penyokong di setiap perlawanan."

Merayu agar pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) untuk mengekalkan pemain berkualiti itu pada musim hadapan, penyokong berharap agar suara mereka di laman media didengari oleh beliau.

Daniel Farish berkata, "Bagi saya Bergson seorang pemain yang berkaliber dan bijak dalam menghasilkan gol, amatlah rugi jika dilepaskan.

"Saya rasa semua penyokong dan peminat akan mohon dan merayu TMJ untuk kekalkan dia di JDT untuk beberapa musim lagi," katanya.

Bakal melayan kunjungan pasukan Melaka United FC untuk perlawanan seterusnya di Stadium Sultan Ibrahim, JDT semestinya mahu mengekalkan rekod kecemerlangan di Liga Super apabila menghuni tangga teratas liga dengan kutipan sebanyak 38 mata setakat ini.

Sekiranya menang, JDT berpeluang untuk melebarkan jurang sebanyak enam mata berbanding pasukan Sabah FC yang sedang mengekori rapat ketika ini di tangga kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram