'Simpan sampai final Piala FA,' tonggak TFC kembali gembirakan penyokong


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Penyokong mendoakan agar Kipre cepat sembuh dan cukup cergas untuk membawa misi kejuaraan Final Piala FA, September depan. — Facebook/ TFC

KELIBAT penyerang Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche yang tampil pada sesi latihan bersama skuad penyu pada Ahad membuatkan penyokong TFC menarik nafas lega.

Ini bermakna kecederaan yang dialami pemain kelahiran Ivory Coast itu sudah beransur pulih dan sudah cukup sihat untuk diturunkan semula bersama skuad utama pada final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT), 10 September depan.

Terdahulu, Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain membuat keputusan untuk merehatkan Kipre selepas saingan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC yang menyaksikan pasukannya meraih kemenangan 4-2.

Ekoran keputusan itu, TFC yang melakukan rombakan pemain kemudiannya turun bertemu pasukan JDT untuk saingan Liga Super dan tewas 1-2 walaupun bermain di laman sendiri.

Walaupun Kipre diturunkan semasa perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada 21 Ogos lalu selepas direhatkan sepanjang tiga perlawanan menentang JDT, Sarawak United dan Selangor FC, dia dilihat masih belum pulih sepenuhnya.

Susulan itu, Kipre hanya diturunkan selama 45 minit sahaja pada perlawanan tersebut walaupun sebelum ini sering beraksi 90 minit permainan.

KUALA NERUS, 6 Ogos -- Kapten Terengganu FC (TFC) Tchetche Kipre (dua, kanan) diasak oleh pemain pasukan Selangor FC Yazan Mousa Al-Arab pada saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kipre (dua, kanan) diasak oleh pemain pasukan Selangor FC, Yazan Mousa Al-Arab dalam saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 6 Ogos lalu. Bernama

Justeru, para penyokong berharap Kipre akan terus direhatkan sehingga final Piala FA dan tidak diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang pasukan Melaka United pada Sabtu ini.

Mohd Huzairi Mohamad menerusi laman Facebook Peteh Ganu Peteh berpendapat tindakan menurunkan penyerang harapan mereka itu dalam saingan berkenaan merupakan tindakan kurang bijak.

"Simpan untuk final sahaja Kipre ini, Tak payah turunkan waktu lawan Melaka nanti. Takut cedera lagi. Pasukan memerlukan khidmat Kipre untuk perlawanan akhir nanti," katanya.

"Kipre ni biar cergas betul-betul dahulu (sebelum diturunkan). Dia ini lagi hebat dari Kpah (Sherman)," kata Gazari Zali.

"Harap-harap Kipre buat yang terbaik untuk skuad Penyu," kata Suzie Jie.

Sebagai rekod, Kipre telah menyumbangkan empat gol dalam 11 penampilannya bersama skuad TFC musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram