PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Musa) Noor Azman Rahman sebagai setiausaha agungnya yang baharu berkuat kuasa 1 September 2022 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Mohd Saifuddin Abu Bakar.
Menerusi kenyataan badan induk itu pada Sabtu, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 pada 23 Ogos lepas menerima peletakan jawatan Mohd Saifuddin kerana dia mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.
Noor Azman, 55, yang kini bertugas sebagai Koordinator Presiden FAM sejak 2018 apabila Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Presiden FAM.
Terdahulu Noor Azman pernah dipilih sebagai Naib Presiden Musa pada 2012 sebelum dia dilantik sebagai Setiausaha Agung Musa selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018.
Pada pemilihan Musa bagi penggal 2020-2023, Noor Azman sekali lagi terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden Musa.
Selain pengalaman luas bersama Musa dan tugasannya selaku Koordinator Presiden FAM, Noor Azman juga pernah terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019).
Dalam pengurusan pasukan, Noor Azman pernah menjadi pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2013, penolong pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2014 serta penolong pengurus pasukan futsal kebangsaan dari 2014 hingga 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram