KEMELUT tunggakan gaji dalam Liga Malaysia (Liga M) masih lagi berlaku dan sudah boleh diibaratkan festival tahunan dan tidak mengejutkan apabila ia boleh berlaku pada bila-bila masa tidak kira permulaan liga, pertengahan liga ataupun penghujung musim.
Baru-baru ini, dua pasukan Liga Super dikatakan tidak membayar gaji pemain-pemain dan staf kejurulatihan lebih daripada tempoh empat bulan sehingga ada dalam kalangan mereka dihalau keluar dari rumah kerana tidak membayar sewa.
Selain itu juga, pemain import pasukan berkenaan diberikan cuti pulang ke negara asalnya selepas hampir tiga bulan tidak dibayar gaji dan ditamatkan kontrak pada pertengahan liga.
Dua pasukan tersebut ialah Sarawak United dan Melaka Unitd yang mana pihak pengurusan mereka ini pernah dihukum tetapi masih tidak serik lagi untuk melakukan perkara sama.
Timbul persoalan adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) tidak memandang serius isu tunggakan gaji yang boleh dianggap antara 'dosa' paling berat dalam liga?
Sudah empat bulan pihak pengurusan Sarawak United tidak membayar gaji pemain-pemain mereka. — Facebook/PFAM
Di ruangan komen Facebook rata-rata penyokong bola sepak tempatan mempertikai tindakan FAM dan MFL yang membenarkan dua pasukan tersebut menyertai saingan Liga Super musim 2022.
"Sebelum jadi masalah kenapa tak ada jawatankuasa yang mengawal ketat bajet kelab-kelab di Liga Malaysia? Bila dah jadi masalah baru nak ada tindakan, mencegah lebih baik dari merawat," kata Ammar AI.
"Pemain kena buat aduan itu satu hal, FAM pun jangan lurus sangat dah tahu akan ada kes macam ini pergi turun siasat," ujar Montana Tony.
"Yang peliknya kenapa setiap tahun dua pasukan ini yang tetap buat masalah sama, tapi MFL dan FAM benarkan mereka beraksi dalam Liga Super? Sebab nak cukupkan kuota liga sahaja ke?" soal Ahmad Yasin.
Sejarah lampau menyaksikan nama Liga M sentiasa hangat dengan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila membabitkan isu tunggakan gaji kepada pemain import.
Semoga isu tunggakan gaji ini tidak berlarutan sehingga mencetuskan kegiatan tidak bermoral seperti rasuah bola sepak kerana walaupun kita tidak nampak, tidak mustahil perkara ini boleh berlaku semula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram