'Sama macam badut, kita umpama tunggul,' MUFC berdepan tekanan jumpa JDT


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Penyokong skuad Hang Tuah semakin kecewa dengan pihak pengurusan pasukan dilanda kemelut itu. — Facebook/Melaka United Football Club

PERSEMBAHAN tidak bertenaga, konflik di dalam dan luar padang serta sikap pihak pengurusan yang sambil lewa.

Itulah kesimpulan yang boleh dibuat mengenai Melaka United FC musim ini selepas mereka gagal mendapatkan sebarang rentak positif dalam setiap perlawanan yang ditempuhi.

Memulakan musim dengan reputasi terjejas berikutan isu tunggakan gaji pemain dan staf kejurulatihan, penyokong skuad Sang Kancil seakan-akan tidak dapat menghidu sebarang kejayaan yang mampu dicapai pasukan ini.

Kejayaan untuk mendapatkan pemain kebangsaan berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Fadhli Shas juga tidak memberikan sebarang harapan buat para penyokong.

Hal ini disebabkan mereka kehilangan tonggak pertahanan import, Jang Suk-won yang membantu mereka sepanjang musim lepas sehingga berjaya berada di tempat kelapan walaupun menampilkan persembahan tempang.

Tidak cukup dengan itu, keputusan untuk menamatkan khidmat ketua jurulatih kelahiran Bosnia, Risto Vidakovic pula tidak diikuti dengan sebarang tindakan susulan yang sewajarnya.

Meskipun pengganti sementara, Asri Ninggal memulakan langkahnya bersama skuad Hang Jebat dengan kemenangan dua kali berturut-turut, kedudukan mereka kembali tertekan disebabkan kesilapan individu dan dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan.

Namun, sekali lagi, beberapa laporan mengenai isu kelewatan gaji menyelubungi Melaka United FC yang semestinya memberi kesan kepada penyokong yang mengimpikan agar episod gelap itu tidak berulang.

301961918_5037649653030069_1132547898138463814_n

Karikatur para penyokong MUFC yang menyamakan kelab itu dengan badut. Facebook/Ultras Taming Sari

Lantaran itu, segelintir daripada mereka melabelkan pasukan MUFC ini sebagai 'badut' selepas beberapa tahun tidak melihat sebarang cubaan untuk membaiki kemelut yang melanda di dalam dan luar padang.

Seorang penyokong menerusi Facebook Ultras Taming Sari berkata, pihak pentadbiran Melaka United FC seperti tidak mempunyai apa-apa perancangan dalam membantu pasukan yang bergelut itu.

"Mereka langsung tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan hanya menganggap kita (penyokong) umpama tunggul yang hanya berdiam diri.

"Tiada langsung rasa hormat dan penghargaan buat penyokong sekian lama yang bersemangat serta berhabis duit dan tenaga untuk memberikan sokongan kepada kelab ini," katanya.

Selain itu, khabar angin mengenai keputusan untuk menurunkan seorang pemain import sahaja dalam perlawanan berdepan Johor Darul Takzim (JDT) pada Isnin malam juga dilihat sebagai kesilapan staf kejurulatihan.

"Hanya satu import bakal beraksi menentang JDT dan dengarnya sudah ada beberapa pemain yang mahu menamatkan kontrak. Inilah dia badut yang sejati," katanya.

Perkara ini turut diluahkan Muhammad Bakri yang merasakan kekecewaan terhadap skuad Hang Tuah ini apabila tiada usaha yang dilakukan dalam membaiki semula pasukan yang dalam dilema ini.

"Saya pun sudah tidak lagi hadir ke stadium untuk memberi sokongan. Kalau kalah, saya tidak kisah tetapi saya merasakan kelab ini tidak mempunyai hala tuju," katanya.

Bagi Abe Mizjan pula, penyokong perlu bertindak memboikot perlawnan selepas ini agar pihak pengurusan menyedari kemelut yang dihadapi MUFC ini.

"Ayuh, kita sebagai penyokong tidak perlu turun malam ini, biar mereka tahu bahawa kita sudah tidak sabar dengan kealpaan mereka," katanya.

Skuad Hang Tuah akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim untuk berdepan cabaran getir bertemu JDT dalam usaha menambah baik kedudukan mereka dalam carta liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram