Jatuh bangkit semula, ketahui 3 kelab berjaya 'setel' isu kewangan


  • Podium
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Pemain pasukan Sarawak United FC dan Melaka United FC kini berdepan masalah gaji yang sama. — Bernama

MASALAH kewangan yang sering melanda kelab atau persatuan bola sepak negeri di Malaysia menyebabkan mutu bola sepak negara semakin merosot.

Baru-baru ini, arena bola sepak tempatan digemparkan dengan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United FC.

Susulan itu, Malaysian Football League (MFL) mengarahkan skuad Ngap Sayot itu untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa pada Jumaat.

Belum lagi isu berkenaan surut, pasukan Melaka United FC (MU) pula dilaporkan bergelut dengan masalah kewangan sehingga menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MU, Datuk Seri Justin Lim meletakkan jawatan.

Sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Sang Kancil berkaitan dengan isu tersebut sekali gus membuatkan penyokong tertanya-tanya.

Walaupun ada kelab yang terkubur bersama masalah kewangan yang dihadapi mereka, namun ada juga yang berjaya diselamatkan daripada terus tenggelam jauh.

Berikut adalah tiga kelab yang jumpa sinar di hujung lorong dan wajar dijadikan inspirasi kepada semua kelab yang terpalit dengan isu ini untuk bangkit memperbetulkan keadaan:

Penyokong The Bos Gaurus setia di belakang pemain-pemain sepanjang mereka bergelut dengan masalah kewangan. Facebook/ Perak FC

1. Perak FC

Perak FC berdepan risiko tersingkir daripada saingan Liga Malaysia 2022 apabila gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji berjumlah RM1,773,532.50 pada Mac lalu.

Pada 1 April lalu, pemotongan tiga mata dikenakan ke atas Perak kerana kegagalan mereka melunaskan pembayaran gaji bagi semua tunggakan setakat November 2021.

Perak FC diberi peluang sehingga 14 April untuk menyelesaikan kemelut, namun apabila pengurusan masih gagal menjelaskan semua tunggakan, Badan bebas, First Instance Body (FIB) tiada pilihan dan terpaksa memotong enam lagi mata.

Melihat kepada situasi itu, Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) melancarkan program Solidariti RM1 yang akhirnya berjaya mengumpul RM11, 000 untuk disumbangkan kepada Perak FC.

Bagaimanapun, kemelut gaji Perak FC hanya dapat diselesaikan setelah anak syarikat milik penuh XOX Bhd, XOX Pro Sport Sdn Bhd memeterai perjanjian bersama Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd bagi pengambilalihan 100 peratus pegangan ekuiti dalam kelab bola sepak Perak FC Sdn Bhd pada harga RM1.

Pembelian Perak FC pada harga RM1 adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas mengambil kira kerugian mereka selepas cukai, tunggakan hutang dan kesukaran untuk beroperasi sebagai sebuah kelab bola sepak.

Kelantan FC

Pasukan TRW kini tidak lagi dibelenggu masalah kewangan yang berterusan.Facebook/ TRW

2. Kelantan FC

Skuad The Red Warriors (TRW) mula dibebani masalah tunggakan gaji ketika masih menggunakan nama Kelantan FA dan di bawah pengurusan Tan Sri Annuar Musa.

Masalah menjadi serius pada 2014 dan berlarutan sehingga kepimpinan pasukan bertukar tangan kepada pengasas Pengurus Desa Murni Batek, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Walaupun telah menghabiskan kira-kira RM6juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji ditinggalkan legasi Annuar Musa, namun masalah menjadi semakin parah sehingga menyebabkan Bibi berundur pada 2019.

Kemudian, tampuk pimpinan diambil alih ahli politik, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan sekali lagi masalah tidak dapat diselesaikan.

Kelantan akhirnya keluar daripada episod hitam mereka selepas melalui proses penswastaan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada pemilik baharu, Norizam Tukiman yang melabur sebanyak RM6.8 juta untuk menjadi pemilik saham syarikat TRW Sdn Bhd itu.

Di bawah Norizam, Kelantan dihujani tawaran pelaburan dari pelbagai pihak sekali gus meletakkan mereka di dalam situasi berbeza berbanding yang dialami sebelum ini.

Masalah politik dalaman menyebabkan gaji KL City FC tertunggak dua bulan. Facebook/ KL City FC

3. Kuala Lumpur (KL) City FC

Pada awal Mac lalu, media tempatan melaporkan isu dalaman yang membelenggu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) telah menyebabkan pasukan tersebut mengalami masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai sejak Januari.

Menurut Presiden KLFA, Khalid Samad, ia berpunca daripada geran tahunan yang sepatutnya diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tidak diberikan berikutan fahaman politik yang berbeza.

Lebih mengeruhkan keadaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan dan diikuti Khalid yang dilaporkan mahu mengambil langkah sama.

Bagaimanapun, pada 21 Mac lalu, Khalid sahkan pembayaran gaji penuh buat pemain dan pegawai KL City telah berjaya dilunaskan.

Sehingga kini, Khalid masih lagi presiden KLFA manakala Stanley masih lagi CEO kelab tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram