Perang emosi dalaman, tiada yang mustahil buat JDT dan Melaka United


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Pada 2 Julai lalu, Melaka United FC berjaya buat JDT berpeluh untuk mengutip satu mata apabila mencatatkan keputusan 1-1. — Facebook/ JDT

PERLAWANAN Liga Super melibatkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Melaka United FC (MUFC) pada Isnin bakal menyaksikan pertarungan emosi di antara kedua-dua belah pasukan.

JDT baru sahaja dimalukan di pentas antarabangsa apabila tewas 0-5 di pangkuan pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds sekali gus tersingkir di pusingan 16 terbaik Perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 19 Ogos lalu.

Kekalahan itu menjadi tamparan besar buat pasukan JDT yang sinonim dengan gelaran raja pesta gol ketika menentang pasukan-pasukan tempatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio mengakui moral pemainnya mula merosot apabila Urawa Red mula meledak dua gol pertama, sekali gus merosakkan momentum mereka sebagai satu pasukan.

Justeru, persoalan timbul adakah kekalahan tersebut menjatuhkan semangat pemain JDT pada penampilan pada Isnin atau membuatkan mereka lagi bersemangat untuk menukar perbualan peminat bola sepak tempatan yang masih rancak menertawakan tentang kekalahan mereka itu?

Sementara itu, di pihak pasukan pelawat MUFC pula, para pemain diulit dengan masalah gaji tertunggak yang bukan lagi asing bagi mereka.

Penampilan menentang Melaka merupakan perlawanan Liga Super pertama JDT selepas ditewaskan Urawa Red pada saingan ACL lalu. — Facebook/ JDT

Malah, ada laporan yang mengatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MU, Datuk Seri Justin Lim sudah meletak jawatan sekali gus menguatkan dakwaan berkenaan kemelut kewangan pasukan berkenaan.

Namun Justin menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin semata-mata.

Menurut penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa, biarpun kedua-dua pasukan bergelut dengan emosi namun kelebihan sememangnya menyebelahi pasukan Harimau Selatan.

"Pasukan JDT tidak ada krisis keyakinan yang kronik di Liga Super, krisis keyakinan yang kita lihat pada waktu itu berlaku di saingan ACL, jadi saya tidak rasa mereka akan bermasalah.

"Pemain-pemain JDT pasti fokus untuk menang pada malam ini dan akan jadi tonik buat mereka sebelum final Piala FA menentang Terengganu FC September depan.

"Kemenangan 1-0 ke atas pasukan Melaka pun sudah cukup buat JDT kembalikan keyakinan mereka. Tapi kalau banyak itu satu bonus," katanya kepada Majoriti.

Melaka United antara pasukan yang dikhabarkan tidak membayar gaji pemain mereka musim ini. — Facebook/MUFC

Dalam pada itu, Sadeq tidak menolak kemungkinan untuk pasukan MUFC bangkit untuk membuat kejutan di hadapan peminat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

"Krisis yang lebih besar adalah pada pasukan MUFC. Isu gaji sememangnya boleh menjatuhkan motivasi pemain-pemain terlibat dan ini berlaku pada pasukan MUFC.

"Kalau MUFC mampu bangkit untuk bagi saingan sengit untuk JDT, biarpun dilanda isu gaji, itu akan jadi satu perlawanan yang sangat menarik," katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan 10 perlawanan antara kedua-dua pasukan, JDT tampak tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh setelah pasukan lawan tidak pernah menang ke atas juara liga lapan kali itu.

Namun dalam dua perlawanan bulan lalu, skuad bimbingan Mohd. Asri Ninggal itu berjaya memaksa JDT berhempas pulas untuk berkongsi mata 1-1 bagi aksi liga dan tewas tipis 1-2 pada perlawanan suku akhir Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram