SELAIN Melaka United FC, Sarawak United FC (SUFC) turut terpalit masalah tunggakan gaji apabila kelab itu dilaporkan tidak melunaskan gaji pegawai, barisan kejurulatihan dan barisan pemain sejak empat bulan lalu.
Bahkan situasi itu didedahkan oleh pemain tengah Ngap Sayot, Boris Kok menerusi satu hantaran di Facebook sebelum isu berkenaan mendapat perhatian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak.
Berbeza dengan Boris yang boleh memilih untuk membatalkan kontrak pinjaman mengikut undang-undang FIFA dan pulang semula ke kelab asal, Phnom Penh Crown, dua tonggak import SUFC, Uche Agba dan Francis Kone tidak begitu bernasib baik.
Uche Agba meraikan gol dengan gaya meminta makanan — Facebook
Uche Agba sendiri memberi mesej jelas tentang masalah kewangan SUFC selepas meraikan gol dengan gaya meminta makanan ketika skuad itu bertemu Penang FC dalam perlawanan pada 31 Julai lalu.
Pada perlawanan tersebut, Ngap Sayot memperoleh tiga mata penuh setelah menewaskan Harimau Kumbang dengan keputusan 3-2 dengan salah satu gol dijaringkan oleh pemain berusia 36 tahun dari Nigeria itu.
Dengan situasi tidak menentu dalam SUFC, peluang tersebut sepatutnya digunakan oleh kelab-kelab yang mengalami masalah di bahagian serangan untuk memancing dua pemain import berkenaan.
Embalo masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak menyertai Sabah FC, Jun lalu. — Facebook
Ketika ini, sekurang-kurangnya tiga kelab Liga Super berdepan ketumpulan sentuhan penyudah yang mengakibatkan keciciran mata serta menjejaskan keseluruhan prestasi pasukan.
Sabah FC antara salah sebuah kelab yang bergelut di bahagian serangan selepas import The Rhinos, Jose Embalo masih gagal membuka akaun jaringan.
Pemain dari Guinea-Bissau itu masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak menyertai Sabah FC pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia Jun lalu.
Ngah Wanja tidak dapat memberikan aksi terbaik kerana kecederaan yang dialami. — Facebook
Berbaki beberapa perlawanan bagi mengakhiri Liga Super musim ini, ramai penyokong Sabah mendesak agar dia ditamatkan kontrak pada musim depan. Ini sekali gus akan membuka peluang kepada Uche Agba atau Francis Kone untuk terus bermain di Borneo.
Selain Sabah, Kedah juga berdepan dengan masalah di bahagian serangan berikutan ketiadaan Syafiq Ahmad yang dipendekkan tempoh pinjaman dan kembali ke Johor Darul Takzim (JDT).
Situasi itu menyebabkan jurulatih Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak terpaksa menggunakan Ronald Ngah Wanja secara sendirian sebagai penyerang utama pasukan itu.
Gandingan Ngah Wanja bersama Uche Agba atau Francis Kone pasti akan membuatkan barisan serangan Hijau Kuning lebih mantap pada musim depan.
Sherman (kiri) dan Kipre lebih menyerlah ketika mereka di KDA FC berbanding TFC. — Facebook
Sementara itu, duo Kpah Sherman dan Tchetche Kipre di Terengganu FC (TFC) pada musim ini tidak menjadi seperti penangan mereka bersama Kedah pada musim lalu.
Perkara itu sendiri diakui pengendali Sang Penyu, Nafuzi Zain yang berasakan aspek penyudah merupakan antara yang perlu diperbaiki oleh skuad Penyu bagi mengelakkan keciciran mata dalam aksi Liga Super.
Kehadiran Uche Agba dan Francis Kone yang masing-masing sudah mencipta tiga gol bersama SUFC musim ini dirasakan dapat memperkuatkan skuad itu sebagai antara pencabar utama pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram