Ikut jejak TMJ, penyokong masih mengharap Tengku Arif Bendahara terajui Sri Pahang FC


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

TMJ (kiri) membawa kemajuan kepada JDT sehingga hari ini, manakala penyokong Pahang mahu Tengku Arif (kanan) mengikut jejak langkah TMJ. — Agensi

SETELAH menunjukkan minat mendalam dalam dunia bola sepak tempatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diumum sebagai pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada Januari 2016.

Pembabitan Tengku Mahkota Johor (TMJ) dalam kelab itu antara faktor JDT mampu mengekalkan momentum sebagai juara Liga Super sejak tahun 2014 sehingga 2021.

Bukan itu sahaja, JDT juga pernah menewaskan dua kelab gergasi, iaitu Guangzhou FC dan Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada April lalu.

Malah, kelab itu kini memiliki stadium sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor yang setanding dengan Liga Eropah.

Lantaran itu, penyokong Sri Pahang FC berasa kagum terhadap kejayaan Harimau Selatan, yang mana rata-ratanya mahu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, yang merupakan anakanda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mengikut jejak langkah TMJ.

1112223

Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri.

Perkara itu disuarakan oleh Nguyen Trang Tang menerusi hantaran di laman Facebook bagi memberi respons mengenai kenyataan House of Pahang.

Tulis Nguyen Trang Tang: "Dalam diam-diam fans Pahang pun mengharapkan anak raja untuk memimpin pasukan bola mereka, kenapa? Contoh dah ada kan?"

Mohamad Asyraf menambah: "Itu hari Tengku Muhamad nak ambil alih tahun 2022, tak ada pun."

Terdahulu, House of Pahang menerusi hantaran di laman Facebook berkata, umum mengetahui bahawa Tengku Arif Bendahara mempunyai jiwa kesukanan begitu mendalam dalam sukan bola sepak.

Katanya, minat dan semangat baginda boleh dikatakan diwarisi daripada ayahanda baginda, yang sememangnya gemar dan aktif dalam bidang sukan terutamanya bola sepak.

Tambahan pula, katanya, Yang di-Pertuan Agong pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula 2014 hingga 2017.

"Mana la tahu lepas ni Tengku Arif akan ikut jejak langkah paduka ayahanda kan. Bila sebut je tentang bola, mesti terus bersemangat.

"Patik-patik sekalian mendoakan, semoga minat YAM (Yang Amat Mulia) dalam bidang ini dapat memberi sinar dan faedah lebih banyak buat atlet negara kita khususnya di negeri Pahang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram