Angan-angan atau realiti? Ketahui pro-kontra 5 import impian penyokong Penang FC musim depan


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Status Penang FC yang kekal dalam saingan Liga Super musim depan mungkin mampu memikat kehadiran beberapa import baharu impian peminat Harimau Kumbang. — MFL

KEDUDUKAN tercorot Penang FC dalam Liga Super musim ini sememangnya mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya peminat fanatik The Panthers.

Setakat ini, skuad Harimau Kumbang itu hanya mengumpul tujuh mata, selain hanya memperoleh satu kemenangan tunggal usai 14 perlawanan Liga Super setakat ini.

Musim ini, Penang FC dilaporkan mempunyai beberapa pemain import iaitu Rafael Vitor, Christian Rontini, Endrick, Hilal El-Helwe dan Lucas Silva yang menggantikan Casagrande pada jendela perpindahan pemain kedua.

Namun, persembahan didakwa tidak memberangsangkan oleh segelintir pemain import berkenaan musim ini menyebabkan penyokong mencadangkan pasukan itu supaya mengambil pemain import baharu musim depan.

Angan-angan kan percuma. Biarpun realitinya ia tidak semudah dibayangkan, mana tahu impian peminat terhadap nama-nama pemain import yang dicanang-canangkan ini dapat direalisasikan pihak pengurusan Penang FC, apatah lagi kelab itu kekal beraksi dalam saingan Liga Super apabila Liga Premier dimansuhkan musim depan.

Sejarah juga sudah membuktikan wajah-wajah pemain import yang sama bersilih ganti bertukar pasukan selama ini, jadi tidak mustahil Stadium Bandaraya Pulau Pinang menjadi destinasi seterusnya pemain-pemain import impian peminat Harimau Kumbang ketika saingan musim baharu nanti.

Berdasarkan komen di media sosial, berikut merupakan antara senarai pemain yang dicadangkan penyokong Penang FC pada musim depan:

1. Mahmoud Al Mardi

Mahmoud-Al-Mardi-Kedah-Piala-AFC-Visakha-amukan (1)

Al Mardi mempunyai harga pasaran sebanyak RM1.5 juta. — KDA FC

Pro: Pemain berusia 29 tahun ini merupakan pemain bola sepak Jordan yang bermain di posisi tengah untuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Al Mardi meledak dua gol daripada empat perlawanan pada Liga Super, manakala empat gol daripada tiga perlawanan pada Piala AFC musim ini.

Bakat Al Mardi sebagai pemain tengah boleh memberi kelebihan kepada pasukan Penang.

Ini kerana pemain semasa Penang dari Jepun, Tam Sheang Tsung dilihat masih belum menyumbang sebarang gol kepada skuad Harimau Kumbang itu.

Kontra: Menerusi semakan daripada laman sesawang terkenal bola sepak Transfermarkt, nilai pasaran Al Mardi bernilai RM1.5 juta.

Nilai berkenaan yang agak mahal menyebabkan Kedah sukar melepaskan pemain tersebut di tangan pasukan lain, tambahan pula Al Mardi baru semusim bersama Sang Kenari.

2. Manuel Hidalgo

manuel-hidalgo-2021

Hidalgo setakat ini meledak lima gol daripada 11 penampilan. — Sri Pahang FC

Pro: Pemain profesional Argentina, Manuel Hidalgo Gasparini bermain sebagai pemain sayap untuk Sri Pahang FC dalam Liga Super musim ini.

Beliau berjaya menambat hati penyokong Tok Gajah dengan kelincahan dan aksi memukau di posisi sayap.

Sesekali, beliau juga diturunkan sebagai pemain tengah atau penyerang.

Sepanjang saingan Liga Super musim ini, pemain berusia 23 tahun itu setakat ini meledak lima gol daripada 11 penampilan.

Merupakan seorang pemain yang memiliki kepantasan dan kemampuan teknikal yang baik, Hidalgo membantu mana-mana pasukan dengan kreativiti positif di tengah padang.

Corak permainan beliau lebih direct dan gerakannya juga agresif ketika mengawal bola.

Hidalgo juga adalah seorang pemain yang versatil kerana kemampuan menggunakan kedua-dua belah kaki, sekali gus beraksi cukup selesa di posisi sayap kanan dan kiri, atau di bahagian tengah.

Kontra: Memandangkan Penang FC berada di tangga tercorot dalam Liga Super, Hidalgo yang berbakat besar itu mungkin memilih untuk beraksi bersama pasukan lebih baik seperti Terengganu FC, Selangor FC mahupun Johor Darul Takzim (JDT).

Meskipun nilai pasaran Hidalgo adalah RM796,000 ketika ini, sudah semestinya beliau ingin mengembangkan bakat dan nilai pasarannya bersama kelab elit.

3) Herlison Caion

Screenshot 2022-08-02 220857

Ciaon tersenarai antara pemain import dalam Liga Malaysia yang termahal. — Agensi

Pro: Herlison Caion jelas membuktikan sentuhannya sebagai mesin pencetak gol Selangor dalam Liga Super musim ini.

Pemain berusia 31 tahun kelahiran Brazil itu setakat ini menyumbang 11 gol menerusi 13 perlawanan dalam Liga Super.

Dalam Liga Thailand sebelum berhijrah ke Selangor, pemain yang mempunyai ketinggian 184 sentimeter ini menjaringkan 34 gol dan 13 bantuan gol dalam 85 penampilan bersama Navy FC, PT Prachuap FC, Chonburi FC, Suphanburi FC dan Muangkan United dari 2019 hingga 2021.

Kontra: Menerusi Transfermarkt, Ciaon tersenarai antara pemain import dalam Liga Malaysia yang termahal dengan nilai pasaran RM1.7 juta.

Oleh itu, mungkin sukar untuk Penang FC mendapatkan khidmat Ciaon berikutan nilai pasaran beliau cukup tinggi.

4) Fernando Forestieri

JDT’s Fernando Forestieri celebrates his goal. - Photo by JDT

Forestieri berjaya menyumbang 11 gol menerusi 13 perlawanan Liga Super.

Pro: Fernando Forestieri yang berasal dari Argentina itu kini bermain sebagai penyerang utama JDT.

Setakat ini, beliau berjaya menyumbang 11 gol menerusi 13 perlawanan Liga Super musim ini.

Sepanjang kempen Piala AFC, pemain berusia 32 tahun ini juga berjaya menyumbang satu gol daripada lima perlawanan.

Kontra: Oleh kerana JDT kini berada di kedudukan teratas dalam Liga Super, mungkin sukar untuk Forestieri meninggalkan kelab Harimau Selatan tersebut.

Pada masa sama, nilai pasaran Forestieri adalah RM3.9 juta menerusi Transfermarkt.

Disebabkan nilai yang agak mahal tersebut, pasukan lain termasuk Penang FC mungkin teragak-agak untuk menyambar beliau daripada JDT, apatah lagi untuk JDT yang pasti tidak sewenang-wenangnya melepaskan penyerang berbisa itu tanpa tawaran harga yang munasabah.

5) Park Tae-su

Riding high with Rhinos: Sabah’s South Korean centreback Park Tae-soo celebrating a goal with his teammates. — Pix courtesy of Sabah FA

Tae-su (kiri) berjaya menyumbangkan enam gol daripada 11 perlawanan pada musim ini. — Agensi

Pro: Satu lagi nama yang bermain di bibir peminat Penang FC adalah Park Tae-su yang lebih dikenali sebagai Karim dalam kalangan peminat fanatik The Rhinos.

Pemain berusia 33 tahun kelahiran Korea Selatan itu beraksi sebagai pemain tengah bagi pasukan Sabah FC.

Beliau mula dikenali apabila jaringan sepakan percumanya buat Sabah ketika menentang PJ City FC baru-baru ini tular di media sosial.

Pada musim ini, Tae-su berjaya menyumbang enam gol daripada 11 perlawanan.

Kontra: Tae-su merupakan pemain import paling lama di Sabah dan kemungkinan besar beliau berasa selesa di dalam pasukan itu sekali gus tidak mahu berhijrah ke kelab lain musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram