DUA gol jaringan Steven Rodriguez membolehkan Sri Pahang menang ke atas skuad Kedah FC di Stadium Darul Makmur, Selasa.
Rodriguez mengembirakan penyokong Sri Pahang apabila meledak gol pembukaan menerusi kuisan cantik pada minit ke-32 yang menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Pada minit ke-66, Rodriguez sekali lagi menolak masuk bola ke gawang Kedah selepas tendangan kencang Hidalgo gagal di tangkap kemas Ifwat untuk Sri Pahang selesa dengan 2-0.
Kekalahan Sang Kenari membuatkan pemerhati sukan, Don K-Rul IZham merasa ralat apabila potensi sebenar pemain sayap import skuad Kedah, Mahmoud Al Mardi tidak mampu dituai sepenuhnya.
Menurutnya, pemain berusia 28 tahun kelahiran Jordan itu memiliki mentaliti dan semangat berbeza berbanding pemain-pemain Kedah yang lain.
"Mahmoud telah menjaringkan enam gol dalam lapan perlawanan. Pemain macam ni tak sepatutnya mendapat pasukan macam Kedah sekarang.
"Walaupun dia letih. Dia yang turun tengah padang, buat larian, suap bola, fikir tentang assist atau jaringan gol.
Dua gol jaringan Steven Rodriguez menjadikannya wira Sri Pahang. — Agensi
"Pada minit ke-30 tadi, aku perasan dia berhenti dan arahkan rakan-rakan. Come on, push up lah. Itu bukan maki atau arahan, itu perkara asas sahaja bagi dia.
"Dia dah terbiasa bermain dengan transisi yang lebih lancar. Bagaimana reaksi ketika pasukan memiliki bola, apa perlu buat ketika rakan sudah pegang bola," katanya.
Tambahnya, Mahmoud sepatutnya berpindah ke pasukan yang lebih berintensiti tinggi seperti Johor Darul Takzim agar bakatnya tidak disia-siakan seperti di Kedah.
"Kalau Mahmoud ni bermain untuk pasukan seperti JDT, aku rasa dia berpotensi menjaringkan gol setiap perlawanan.
"Atau sediakan assist untuk setiap perlawanan. Transisi sedap, tempo laju, intensiti game, mentaliti lagi lah. Rugi Kedah mensia-siakan bakat yang ada pada Mahmoud Al Mardi.
"Musim depan belum tentu Kedah boleh cari pemain import yang ada kualiti seperti ini lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram