SRI PAHANG FC jelas memperoleh tonik semangat terbaik apabila melakar dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Selangor FC 2-0 minggu lepas dan terbaharu, Kedah Darul Aman (KDA) FC juga dengan keputusan 2-0 pada Isnin.
Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, dekat Kuantan, Pahang itu, kedua-dua gol Pahang merupakan hasil jaringan Steven Rodriguez pada minit ke-31 dan 67.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Datuk Dollah Salleh berpendapat, persembahan yang ditunjukkan oleh Pahang semakin baik selepas pasukan itu tewas 2-5 di tangan Penang FC pada 23 Julai lalu.
Dollah berkata, Pahang mendapat 'tonik' ketika perlawanan menentang Selangor.
Pengendali Pahang itu berkata, pasukan itu kemudian bangkit dan mendapat 'tonik' ketika perlawanan menentang Selangor.
"Selepas beberapa game (perlawanan) tanpa kemenangan, kita menang melawan Selangor dan Kedah.
"Tapi, nothing special (tiada yang istimewa) kerana kita masih lagi tercari-cari rentak permainan kita," katanya kepada Majoriti.
Persembahan ditunjukkan oleh Pahang semakin lama semakin menyerlah. — Facebook/ Sri Pahang FC
Pada masa sama, Dollah mengakui bahawa beliau berbangga apabila semua anak buahnya sangat berdisiplin, selain tahu akan tugas masing-masing, yang seterusnya membawa kepada kemenangan tersebut.
Katanya, perkara itu menjadi satu kelebihan buat pasukannya ketika ini.
"Dari segi persembahan kita bermain dengan baik tapi apa yang kita expect (harapkan) sebenarnya mereka boleh baik lagi," katanya.
Jelasnya, beliau melihat Rodriguez yang bertindak sebagai penyerang, manakala Mamadou Samassa yang memegang posisi sebagai penjaga gol disifatkan semakin meningkatkan prestasi mereka.
"Sebelum ini, striker (penyerang) tidak jaringkan gol, goalkeeper (penjaga gol) juga tiap kali perlawanan kena gol. Jadi, kedua-dua pemain itu (ketika ini) sudah macam wake up call.
"Itu yang kita nampak team performance (persembahan pasukan) makin lama makin menyerlah, dah dua game (perlawanan) kita tidak melepaskan gol," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai harapan pada perlawanan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC pada 9 Ogos depan, Dollah berkata, beliau sudah pasti mahukan kemenangan selain mengekalkan prestasi Pahang.
Pahang kini berada di kedudukan ke-9 Liga Super dengan 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri, selebihnya tewas daripada 13 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram