Penjaga gol PJ City terlalu cemerlang punca Terengganu buntu kutip 3 mata


  • Podium
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (kiri) berjaya menggagalkan beberapa serangan TFC. — Bernama

KECEMERLANGAN penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menjadi alasan mengapa skuad Terengganu FC (TFC) sekadar mencatat keputusan seri pada Isnin.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, anak buahnya telah memperagakan persembahan terbaik dengan menguasai kedua-dua babak perlawanan, tetapi ketangkasan penjaga gol berketinggian 1.8 meter itu berjaya menggagalkan peluang TFC untuk mencipta sebarang gol dalam aksi Liga Super yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

"Kecemerlangan penjaga gol antara faktor utama kami tak dapat jaringan, banyak percubaan dapat diselamatkan.

"Selain itu pertahanan PJ City FC juga berfungsi dengan baik, jadi kami kena tengok balik dan perbaiki apa saja kelemahan selepas ini," katanya.

KUALA NERUS, 1 Ogos -- Kapten Terengganu FC (TFC) Tchetche Kipre (kanan) mengasak pemain pasukan PJ City FC Filemon Anyie Standly (dua, kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.Keputusan penuh menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebahagian daripada aksi antara TFC dan PJ City FC. — Bernama

Sementara itu, pengendali PJ City FC, P. Maniam berkata, beliau tetap berpuas hati walaupun hanya berjaya membawa pulang satu mata daripada tempat lawan.

Beliau berkata, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan komitmen tinggi serta persefahaman yang baik ketika bertahan.

"Keputusan seri di tempat lawan malam ini memberi kami lebih semangat untuk menghadapi pertembungan selepas ini dengan Sri Pahang," katanya.

Dalam pada itu, Maniam berkata, beliau tidak berasa panik walaupun pasukannya berada di kedudukan kedua tercorot liga.

Sebaliknya beliau yakin mampu merealisasikan sasaran untuk berada di kelompok lima terbaik sebelum Liga Super melabuhkan tirainya musim ini.

"Tahun lepas kami berjaya cipta keajaiban dengan mengakhiri liga di tempat ketujuh dengan menggunakan 100 peratus pemain tempatan.

"Sekarang ini pun beza kutipan mata antara satu-satu pasukan tidak jauh. Kami boleh kejar mata dan kena mula dengan cipta kemenangan pada pusingan kedua," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram