Ketahui jasa, sumbangan 4 legenda bergelar Datuk


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Barisan legenda bola sepak negara yang menerima gelaran Datuk baru-baru ini. — Agensi

BERSEMPENA dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, empat legenda bola sepak tempatan dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran itu telah diterima Datuk Zainal Abidin Hassan; Datuk Dollah Salleh; Datuk Ahmad Yusof dan Datuk Yunus Alif pada majlis istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, pada Isnin.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Istana Abu Bakar, pada Isnin.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan berkenaan selesai.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Berikut merupakan jasa dan sumbangan keempat-empat legenda berkenaan dalam arena bola sepak tempatan:

Zainal pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Pahang. Agensi

1. Datuk Zainal Abidin Hassan

Ketua jurulatih Penang FC ini merupakan salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.

Pada 1996, Zainal membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Tiger 1996 dan dianugerahkan selaku pemain paling bernilai (MVP) dalam kejohanan tersebut.

Zainal yang pernah beraksi bersama pasukan Selangor dan Pahang kemudiannya bersara daripada arena bola sepak pada 1999 ketika berusia 37 tahun.

Setelah menggantung but, Zainal terpilih untuk mengendalikan skuad bawah 17 tahun negara.

Pada 2002, beliau dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan senior kebangsaan. Beberapa tahun kemudian, beliau dilantik menjadi pengendali pasukan Pahang.

Kejayaan pertamanya sebagai jurulatih adalah membawa pasukan Pahang untuk menjuarai Liga Super, sebelum sekali lagi menjulang Piala FA pada 2006.

Zainal juga membantu Pahang menjuarai Piala FA 2014.

Dollah merupakan penyerang berbisa pada zaman kegemilangannya. — Agensi

2. Datuk Dollah Salleh

Ketua jurulatih Sri Pahang ini pernah sebagai bergelar penyerang berbisa Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an. Dollah berjaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara 1989 dan Pestabola Merdeka pada 1993. Dollah meninggalkan kerjaya sebagai pemain bola sepak pada 1998.

Pada 2003, Dollah kembali ke arena bola sepak tempatan sebagai jurulatih pasukan Selangor MPPJ. Beliau mencipta sejarah apabila membawa MPPJ muncul juara Piala Malaysia. Beliau kemudian membawa MPPJ ke Liga Super setelah kelab itu muncul juara Liga Premier pada 2004.

Ketika bersama pasukan Selangor, beliau membawa Selangor menjuarai juara tiga piala (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia).

Dalam kerjayanya sebagai jurulatih Harimau Malaya pada 2014 hingga 2015, Dollah membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

Ahmad pernah menjadi kapten pasukan Harimau Malaya.Agensi

3. Datuk Ahmad Yusof

Ahmad Yusof merupakan kapten pasukan ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pada Februari 1999, Konfederasi Bola Sepak Asia mengiktiraf pencapaian Ahmad Yusof mewakili negara sebanyak 103 kali.

Yunus (kanan) membawa Pahang ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1995 dan 1997. Agensi

4. Datuk Yunus Alif

Yunus telah bermain untuk Terengganu FA dan Pahang FA dalam kejohanan Piala Malaysia dan Liga Semi-Pro, selain menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 1983. Yunus juga muncul sebagai penjaring terbanyak liga pada 1988.

Sebagai jurulatih, Yunus telah melatih pasukan Pahang FA, Terengganu FA, Penang FA, Perlis FA, Proton FC, PBDKT T-Team FC dan kini PABB FC.

Antara kejayaan Yunus sebagai jurulatih ialah membawa Pahang ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1995 dan 1997 namun kedua-duanya tewas di tangan Selangor FA, selain menjuarai Liga Perdana 1995, dan naib juara Piala FA tahun yang sama.

Bersama Terengganu, Yunus juga telah memenangi Piala FA pada 2000 dan naib juara Piala FA 1999. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram