Tragedi kepala air berulang di Baling, penduduk cemas berdepan risiko banjir


  • Tular
  • Khamis, 28 Jul 2022

Tangkap layar menunjukkan paras air sungai di Kampung Bukit Iboi, Baling sudah melepasi paras bahaya.

TULAR satu kejadian kepala air di Kampung Bukit Iboi, Kupang, Baling, Kedah pada Khamis mengundang kegusaran penduduk setempat.

Kejadian itu berlaku selepas hujan lebat kira-kira pukul 4 petang Khamis.

Video yang dimuat naik di Facebook Baling Today Official itu menunjukkan paras air Sungai Kupang sudah melepasi paras bahaya.

Air sungai yang mengalir deras turut dilihat melimpahi paras Brailey Bridge (jambatan sementara) yang digunakan bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh akibat kejadian kepala air pada 4 Julai lalu.

Video berdurasi 11 saat itu telah mendapat 48,000 tontonan dan rata-rata warganet berdoa agar peristiwa banjir tidak berulang kembali.

"Semoga ALLAH selamatkan penduduk, harta benda dan nyawa di Baling," kata Muhammad Daniel.

"Turun lagi hujan malam ni memang banjir lagilah. Harap penduduk bertabah," tulis Sentiasa Bersyukur.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor memaklumkan beberapa kolam takungan air paip masyarakat yang dikenali sebagai tandak takungan didapati pecah dan dipercayai menyumbang kepada pembentukan kepala air di daerah Baling.

Kejadian banjir itu telah mengorbankan tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil empat bulan selepas rumah didiami mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang melanda kampung tersebut.

Menurut komen warganet, pihak berkuasa seperti pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini sudah berada di lokasi berisiko tersebut sebagai langkah berjaga-jaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram