BELUM reda kes penderaan kanak-kanak autisme perempuan berusia tujuh tahun yang didakwa didera oleh guru di Pulau Pinang, seorang wanita di Johor Bahru, Johor juga mengadu anak lelakinya menerima nasib yang sama.
Kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan serius setelah didakwa didera di sebuah pusat latihan pembelajaran khas di sebuah fakulti universiti terkemuka di Johor Bahru.
Kesan tamparan yang kelihatan jelas pada bahagian pipi Abrisam.
Menurut Nik Huzaiwati Husin, ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku.
"Pada awal Januari lalu, saya perasan pipi anak saya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam merah dan macam ada kesan tamparan.
"Memang nampak macam ditampar tapi saya cuba bersangka baik dan sedapkan hati sendiri.
"Tapi dah lama-lama makin teruk pula dan ada juga ibu bapa kanak-kanak istimewa lain turut mengadu anak mereka mempunyai kesan lebam," dakwanya kepada Majoriti.
Nik Huzaiwati mendakwa, anaknya yang berumur enam tahun itu disyaki didera oleh salah seorang guru terapi di pusat terapi itu sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Enggan berdiam diri, Nik Huzaiwati bersama suaminya terus Hospital Kulai untuk mendapatkan khidmat nasihat pakar dan rawatan bagi anaknya.
“Saya mengesyaki anak saya ini didera selepas terdapat kesan lebam di bahagian badan ketika memandikannya.
"Anak saya lebam di bahu kiri berbentuk jari, cukup bentuk lima jari, ditambah dengan kesan cubitan di dada.
"Sampai pecah darah pada kecederaan bahagian dada Abrisam.
"Saya tidak boleh bayangkan macam mana anak saya didera sampai teruk macam itu," dakwanya lagi.
Dakwanya, hasil pemeriksaan doktor mendapati Abrisam disahkan mengalami kecederaan serius.
Jelas Nik Huzaiwati, dia juga pernah berjumpa dengan guru terapi di situ untuk mendapatkan kebenaran.
"Cikgu terapi tersebut mengaku ada bertindak kasar dengan anak saya dengan memberikan alasan anak saya meronta masa buat aktiviti.
"Tidak sangka lebam, tak perasan badan anak mudah lebam, demikian jawab mereka pada saya.
"Tapi bila dibawa kepada pihak atasan mereka putar belit cerita pula.
"Ketua mereka sendiri mengatakan, tak mungkin aktiviti dan peralatan mereka akan hasilkan kecederaan ni," dakwanya lagi.
Nik Huzaiwati berharap agar tiada lagi kanak-kanak istimewa yang lain menerima nasib yang sama seperti anaknya.
Menurut Nik Huzaiwati, dia telah melaporkan kes tersebut di Balai Polis Kangkar Pulai dan laporan itu telah diambil alih oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.
Katanya, masih belum ada apa-apa tindakan lagi dari pihak polis dan pusat terapi berkenaan.
"Saya nakkan keadilan untuk anak saya. Kenapa perlu dera kanak-kanak istimewa ini?
"Anak saya trauma, hampir setiap malam Abrisam bangun dan berjaga sampai lewat pagi.
"Mereka dah tinggalkan memori hitam dalam kepala dan ingatan dia!
"Sedangkan kami, berusaha sedaya upaya cari cara untuk memberikan perawatan yang terbaik untuk dia," luahnya dengan nada yang kecewa.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pusat terapi dan pihak berkuasa berhubung dakwaan Nik Huzaiwati setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram