SKUAD Harimau Malaya nampaknya mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan persahabatan menentang Brunei dan beroleh kemenangan seperti yang dijangka apabila mudah menang 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Kali terakhir Malaysia bertemu Brunei adalah 21 tahun lalu dan mengikut rekod, Malaysia tidak pernah tewas dalam kesemua lapan perlawanan terakhir.
Namun, pertemuan kali ini bukanlah untuk menentukan pasukan mana yang lebih hebat, tetapi sebagai medan untuk Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon memilih pemain yang boleh dibawa beraksi untuk kelayakan Piala Asia 2023.
Ada beberapa pemain yang dilihat beraksi dengan cukup cemerlang antaranya Syafiq Ahmad, Dion Cools, Syamer Kutty, Safiq Rahim dan Faisal Halim.
Antara aksi pemain skuad Harimau Malaya ketika menentang Brunei.— Facebook
Seorang penyokong Harimau Malaya, Don K-Rul Izham berkata, keseluruhan pemain Malaysia beraksi dengan baik kecuali pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.
Menurutnya, Sumareh yang kini beraksi untuk Johor Darul Takzim (JDT) bukanlah seorang pemain yang tidak bagus, tetapi keyakinannya seperti hilang ketika menyarung jersi Harimau Malaya.
"Apa yang boleh kembalikan sentuhan dia? Minit perlawanan. Tapi dia nak ke main? Itu kena tanya dia sendiri.
"Pinjaman? Salah satu jalan penyelesaian memandangkan kontrak dia masih bersama JDT. Cuma tolak satu pasukan, tak mungkin Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Sumareh gagal memberikan persembahan terbaik untuk skuad kebangsaan. — Facebook
"PJ City mungkin pasukan yang sesuai untuk Sumareh," katanya.
Menerusi perlawanan pada Jumaat, kebanyakan penyokong mengecam aksi yang dipamerkan oleh Sumareh yang gagal beraksi dengan baik sebelum digantikan pada separuh masa kedua.
Gol-gol Malaysia ketika berdepan Brunei dijaringkan oleh Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Faisal Halim dan jaringan penalti Guilherme de Paula.
Selepas ini, anak-anak buah Pan-gon akan diuji Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan pada 1 Jun sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram