KEKALAHAN skuad bola sepak bawah-23 (B23) negara di tangan Indonesia dalam saingan pingat gangsa di Sukan SEA Vietnam baru-baru ini masih berbekas di hati ramai penyokong Malaysia.
Malah, ada juga yang menyalahkan penyerang Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti sehingga pemain itu terpaksa mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
Pemain yang berpangkalan di Belgium itu berkata, dia nyata kecewa selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti itu dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan tersebut.
Namun, di sebalik permohonan maaf itu, masih ada lagi penyokong yang mengecam dan mempertikai kemampuan Luqman Hakim.
Luqman Hakim memohon maaf ekoran kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti. — Bernama
Namun, seorang warganet, Zuraimi Zukri berkata, dia melihat apa yang dilakukan Luqman Hakim dipengaruhi sentimen ketika berkelana di Eropah.
"Bagus Luqman Hakim ini, lagi lama dia duduk di Eropah, lagi bagus pemikirannya. Di sana, apa yang kita tak boleh tanding adalah adab bercakap. Sesuatu yang Asia masih lemah.
"Mereka mahir menyampaikan sesuatu melalui lisan dan tulisan. Salah satu sebab adalah tahap pendidikannya.
"Luqman Hakim sudah meminta maaf, mengambil semua kesalahan dan mahu terus memperbaki dirinya. Jadi kenapa perlu dipanjangkan lagi," katanya.
Menurut Zuraimi, dalam program Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di bawah kendalian Lim Teong Kim juga mengutamakan pembinaan insan yang baik berbanding membina pemain bola sepak.
Reaksi pemain Harimau Muda selepas tewas kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti di Sukan Sea Vietnam. — Bernama
Perkara itu jelasnya, kerana tidak semua pelatih akan menjadi pemain bola sepak profesional tetapi semua akan kekal menjadi manusia.
"Apa lagi kita mahu? Mahu dia bunuh diri kerana gagal sepak penalti baru nak puas hati? Dalam tak sedar kita sendiri menjadi penyumbang kepada pemain di Malaysia tidak maju. Tetapi bising mahu melihat pemain maju.
"Dia masih remaja dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Seorang anak Kelantan yang dinamik dan berpengaruh dalam kalangan rakannya," katanya.
Minggu lepas, pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh Hanoi, Vietnam, penentuan pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA melibatkan Malaysia dan Indonesia terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan sebenar.
Pada penentuan sepakan penalti itu, percubaan Luqman Hakim dan Muhammad Hadi diselamatkan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi, manakala bagi Indonesia hanya Asnawi Mangkualam Bahar gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah rembatannya menggegar palang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram