'Cari makan' di luar negara, ini 5 calon berpotensi dalam radar Kim Pan-gon


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

Dion Cools merupakan pemain warisan yang sedang beraksi di luar negara dan mendapat peluang menyertai skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

TERDAPAT tiga pemain yang berkelana di luar negara mendapat panggilan skuad kebangsaan kali ini untuk mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pemain-pemain yang dipanggil oleh jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon ialah Dion Cools (S.V. Zulte Waregem), Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Liridon Krasniqi (Odisha FC).

Dalam sidang media sebelum pertemuan Malaysia bertemu Brunei, Pan-gon menjawab persoalan media sama ada pemain warisan atau tempatan yang sedang beraksi di luar negara akan mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan.

Pan-gon menjelaskan, beliau masih belum melakukan tinjauan bakat atau 'scouting' ketika ini apabila berdepan kesukaran untuk membuat penilaian terhadap pemain-pemain Malaysia yang bermain di luar negara.

Tetapi beliau berjanji, perkara itu akan dipertimbangkannya di masa akan datang kerana untuk memantau pemain yang mempunyai hubungan dengan negara ini agak sukar dalam waktu masa yang begitu singkat.

Berikut merupakan lima pemain yang boleh dipertimbangkan Pan-gon bagi menyertai skuad Harimau Malaya:

Wan Kuzain 1

Kuzain terpaksa melupakan hasrat mewakili pasukan kebangsaan kerana masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan oleh FAM. — Facebook

1. Wan Kuzain (St. Louis City)

Pemain kelahiran Amerika Syarikat-Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal kini sedang beraksi bersama pasukan baharunya di Major League Soccer (MLS) apabila menyertai pasukan ST Louis City FC.

Pemain yang bermain di posisi tengah bertahan ini pernah menyertai skuad Harimau Muda semasa di bawah kendalian bekas jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Malangnya, Kuzain tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan kerana masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup.

Pemain berusia 23 tahun itu kini sedang menikmati karier bola sepaknya apabila tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol dalam aksi pertamanya bersama St. Louis City SC.

Dalam tujuh penampilannya bersama St. Louis City SC dia telah menjaringkan satu gol berserta tiga bantuan gol di saingan MLS.

Nooa Laine

Hasrat Laine untuk mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC 2022 (B-23) di Uzbekistan pada bulan Jun depan tidak jadi kenyataan ekoran masalah dokumentasi. — Agensi

2. Nooa Laine (SJK Seinäjoki)

Pemain terbaharu yang dipanggil oleh ketua jurulatih Brad Maloney bagi pasukan Harimau Muda ialah pemain kelahiran Finland-Malaysia, Nooa Laine yang sedang beraksi bersama SJK Seinäjoki.

Pemain ini berusia 19 tahun dan bermain di posisi tengah menyerang dan beliau kini sedang beraksi di Liga Divisyen 1 Finland.

Untuk rekod, pemain muda ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Finland bawah 17 tahun 2018 dan berjaya membuat empat penampilan serta satu jaringan ketika itu.

Ibu Noaa Laine ini adalah warga Finland dan bapanya berasal dari Malaysia, Laine telah disifatkan sebagai antara pemain muda yang terbaik di Finnish Top Division.

Tetapi hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan kelibat Laine dalam saingan Piala Asia bawah 23 (B-23) di Uzbekistan pada bulan Jun depan tidak jadi kenyataan apabila khidmatnya terpaksa dilupakan ekoran masalah dokumentasi yang belum selesai.

Kobe Jae

Kobe menyuarakan hasrat untuk mewakili skuad kebangsaan dan turut meletakkan bendera Malaysia di profil Twitter beliau. — Agensi

3. Kobe Jae Chong (Peterborough United)

Pemain muda yang mempunyai darah campuran Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong baru sahaja dilepaskan oleh kelab Peterborough United yang beraksi di EFL Championship iaitu liga divisyen kedua England.

Kobe pernah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan Malaysia B-19 namun terpaksa melupakan hasrat tersebut disebabkan isu kuarantin ekoran pandemik Covid-19.

Kobe juga pernah menyuarakan hasrat untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia malah dia turut meletakkan bendera Malaysia di profil Twitter beliau.

Pemain berusia 20 tahun itu sebelum ini menyertai sesi percubaan bersama beberapa kelab seperti Brentford dan hampir menyertai kelab yang baru dipromosikan ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kobe bermain di posisi pemain tengah dan baru berusia 20 tahun.

Annil Vigneswaran (left) in action for SGV Freiburg in the Bundesliga.2 Youth League. - Photo given by Annil Vigneswaran

Annil menyertai beberapa pemain muda lain yang beraksi di Eropah seperti Luqman Hakim Shamsuddin (KV Kortrijk) dan Amar Makruf (AD Alcorcon).

4. Annil Vigneswaran (SV Sandhausen)

Pada bulan Mac 2022, khabar gembira datang dari Jerman apabila pemain pertahanan muda negara, Annil Vigneswaran dilaporkan bakal beraksi bersama kelab yang beraksi di divisyen kedua liga bola sepak negara iaitu SV Sandhausen.

Annil sebelum ini beraksi bersama kelab divisyen lima iaitu SGV Freiburg dan dia menjadi sebahagian daripada skuad B-23 tahun negara yang beraksi di peringkat kelayakan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia tahun lalu.

Dengan kekal beraksi di Jerman, Annil menyertai beberapa pemain muda lain yang beraksi di Eropah seperti Luqman Hakim Shamsuddin (KV Kortrijk) dan Amar Makruf (AD Alcorcon).

Ketika ini, SV Sandhausen berada di tangga ke-14 dalam carta Liga 2. Bundesliga yang mana mereka mengumpul 41 mata selepas menghadapi 34 perlawanan.

Amar Makruf

Amar menyertai akademi Alcorcon selepas menampilkan prestasi cemerlang bersama akademi bola sepak di Valencia iaitu The Next Generation Sport. — Facebook

5. Amar Makruf (AD Alcorcón)

Pemain muda negara, Amar Makruf mengetepikan soal gaji rendah yang diterimanya di kelab divisyen dua Sepanyol, AD Alcorcon dan mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin beraksi di saingan bola sepak Eropah.

Sebelum ini, Amar dan seorang lagi pemain, Anas Nadawi menyertai salah satu akademi bola sepak yang berpangkalan di Valencia iaitu The Next Generation Sports pada Disember 2020.

Setelah menampilkan prestasi cemerlang bersama akademi tersebut, Amar Makruf menyertai akademi Alcorcon pada April 2021 dan beliau kemudiannya diserapkan ke dalam skuad B-23 tahun yang beraksi dalam saingan Tercera División yang merupakan liga divisyen keempat dalam piramid bola sepak Sepanyol.

Alcorcon sendiri ketika ini sedang menghuni tangga tercorot dalam saingan Segunda Division apabila kelab itu sekadar mengutip 26 mata selepas mengharungi 41 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram