PADA tahun 2017, Khalifa Affnan dihantar ke Korea Selatan selama tiga bulan di bawah program pertukaran guru di mana dia mempelajari banyak perkara menerusi perkongsian ilmu terutamanya berkaitan teknologi.
“Saya membawa semua maklumat itu kembali ke kolej untuk dikongsi dengan pelajar saya,” kata guru Bahasa Inggeris dan ketua unit teknologi maklumat dan komunikasi Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu.
Pada Khamis, beliau dinobatkan sebagai pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022, menewaskan 7,000 pencalonan lain dari 113 negara.
Beliau telah disenarai pendek sebagai pemenang serantau dari rantau Australia, New Zealand dan Asia Tenggara.
Kedua-dua penghormatan adalah pencapaian pertama sebegitu bagi rakyat Malaysia.
Lelaki berusia 36 tahun itu diiktiraf atas usahanya dalam memulakan projek STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), di mana beliau melatih pelajar dalam bidang robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi lain.
“Semuanya bermula pada 2017 apabila saya dihantar ke Korea Selatan oleh Kementerian Pendidikan selama tiga bulan untuk program pertukaran guru.
“Banyak yang saya pelajari daripada pengalaman dan perkongsian ilmu, terutamanya apabila guru-guru dari Korea menyentuh topik teknologi,” kata Khalifa.
Lama kelamaan, guru kelahiran Selangor itu membina rangkaian dengan pakar dari pelbagai institusi dan menjemput mereka ke kolejnya.
“Saya menjemput pakar dan perwakilan tempatan dan Korea untuk mendidik pelajar saya tentang pengekodan asas, robotik dan cara mengendalikan serta memasang dron.
"Saya juga membawa pelajar saya ke Korea Selatan untuk merasai sendiri teknologi ini," katanya dalam satu temu bual seperti dilaporkan The Star.
Khalifa membina rangkaian dengan pakar dari pelbagai institusi termasuk dari Korea Selatan. — Facebook
Kebanyakan kolej vokasional di Sabah tidak mendedahkan pelajar mereka kepada kemahiran berkaitan STEM. Oleh itu, beliau mengambil tanggungjawab untuk melengkapkan pelajarnya dengan kemahiran diperlukan bagi menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat.
Beliau menasihatkan rakan guru lain supaya berdaya tahan dan memastikan kesinambungan apabila mereka memutuskan untuk memulakan projek buat pelajar masing-masing.
“Menjadi perkara biasa bagi guru untuk berasa bersemangat memulakan sesuatu yang hebat, tetapi kemudian tawar hati kerana pelbagai sebab seperti tekanan kerja dan terpaksa melakukan kerja yang bukan dalam tugas hakiki mereka.
"Jangan berputus asa kerana usaha anda, tidak kira kecil atau besar, akan dihargai pada masanya," kata Khalifa yang menjadikan arwah datuknya yang merupakan seorang guru bahasa sebagai sumber inspirasi.
Dalam satu kenyataan, Cambridge University Press berkata, ia adalah kali pertama seorang guru Malaysia dipilih sebagai pemenang untuk anugerah itu di peringkat global dan serantau.
Usaha Khalifa juga telah meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan dan pelajar berkeperluan khas dalam aktiviti STEM, tambah kenyataan tersebut.
Khalifa akan menerima set buku dan sumber digital pilihan daripada Cambridge University Press, pakej pembangunan profesional dan juga akan dipaparkan di hadapan setiap buku teks Pendidikan Cambridge University Press baharu mulai Februari 2023 dan seterusnya.
Sambil menyifatkan ia sebagai peristiwa penting bagi guru di Malaysia, pengarah Asean Cambridge University Press, Kanjna Paranthaman berkata, pencapaian itu mencerminkan kualiti guru negara.
“Program STEM Khalifa telah memberi impak besar dalam memastikan setiap orang dalam komunitinya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, yang merupakan nilai pegangan kami di sini.
"Semoga pencapaian Khalifa akan memberi inspirasi kepada guru-guru, melengkapkan kami dengan individu yang berdedikasi untuk membimbing generasi muda akan datang," kata Kanjna. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram