The Rhinos enggan mendabik dada, mandat OKS untuk kekal konsisten


  • Podium
  • Jumaat, 27 Mei 2022

Barisan pemain yang berjaya membawa Sabah FC berada di kedudukan kedua dalam Liga Super setakat ini.

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap masih terlalu awal untuk selesa dengan kedudukan di tangga kedua Liga Super ketika ini sambil menjangkakan perlawanan yang lebih sengit menanti sebaik sahaja saingan kembali bersambung.

Pada mulanya, Kim Swee tidak menjangka anak buahnya mampu meletakkan pasukan di kedudukan sekarang apatah lagi mereka bermula dengan kekalahan pada perlawanan pertama sebelum ini.

Segalanya nampak berjalan lancar untuk Sabah, tetapi bekas pengendali skuad bawah-23 (B23) ini mahu barisan pemain lebih fokus dan konsisten dengan kemenangan yang telah diraih sekiranya mereka ingin kekal memberi saingan memburu kedudukan teratas.

"Bagi saya, kita baru sahaja main beberapa perlawanan dan saya nampak banyak lagi yang perlu diperbaiki.

"Walaupun sekarang kami di tangga kedua, masih awal nak cakap sebab pasukan kena terus konsisten kalau nak terus kekal sekurang-kurangnya di tempat ketiga atau kelima teratas.

WhatsApp Image 2022-05-27 at 9.23.37 PM

Ong Kim Swee bersama pemain Sabah FC.

"Sudah tentu saya pun tak jangka untuk berada di kedudukan sekarang, tapi apa saya boleh cakap kami berada di landasan yang betul terutamanya selepas pasukan kalah dalam perlawanan pertama.

"Tetapi pemain bangkit untuk aksi seterusnya, jadi kami memang tak akan ambil mudah dalam mana-mana perlawanan selepas ini termasuklah aksi Piala FA," jelasnya.

Memandangkan aksi Liga Super sedang berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan, Sabah dijangka akan melakukan beberapa aksi persahabatan di Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat.

"Kemungkinan kita akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di luar Sabah, tetapi masih belum tahu di venue mana.

"Seawal minggu depan baru kita akan tahu dan mungkin akan ada dalam tiga perlawanan.

"Setakat ini pemain-pemain berada dalam keadaan baik, cuma Dirga (Dirga Surdi) baru selesai jalani pembedahan ACL, jadi dia tidak akan beraksi sampai habis musim," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram