PARA penyokong Terengganu FC dan Sri Pahang FC terpaksa menanti lebih lama untuk menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi pada perlawanan pertama Liga Super.
Ini berikutan perlawanan antara kedua-dua pasukan terpaksa ditunda selepas ramai pemain diuji positif Covid-19 dan kontak rapat bergejala.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
"Ya, Pahang akan ditunda dan kita akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi," katanya kepada Majoriti.
Turut ditunda adalah perlawanan dalam Liga Super adalah pertemuan antara Selangor FC dan Sri Pahang FC yang sepatutnya berlangsung pada 8 Mac.
Selain itu, Liga Premier membabitkan Perak FC menentang Kelantan United FC serta Terengganu FC II menentang UiTM FC juga tidak terkecuali ditunda.
Sekretariat MFL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menunda perlawanan-perlawanan tersebut setelah menerima permohonan dan pengesahan dari Pasukan Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC bahawa beberapa pegawai dan pemain telah dijangkiti Covid-19.
Tarikh pindaan bagi kesemua perlawanan berkenaan akan diberitahu kelak.
Terdahulu, dua aksi Liga Premier membabitkan Selangor FC II menentang Projek FAM-MSN dan PDRM bertemu Kuching City terpaksa ditunda selepas dua jurulatih dan semua pemain projek FAM-MSN positif Covid-19 serta kontak rapat bergejala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram