Jordan Mintah, Argzim Redzovic 'senjata' TFC ll lawan UKM FC


  • Podium
  • Jumaat, 04 Mac 2022

PERSIAPAN TFC II agak terjejas selepas pemain import, Luke Woodland mengalami kecederaan lutut. — Agensi

PENYERANG kelahiran Ghana, Jordan Mintah menjadi sandaran Terengganu FC ll (TFC ll) untuk merobek gawang The Varsity Boys apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pertama Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu.

Dengan ketiadaan beberapa pemain utama akibat kecederaan dan penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), harapan turut disandarkan ke bahu seorang lagi pertahanan import TFC ll, Argzim Redzovic yang kekal memakai lilitan kapten pasukan sejak musim lepas.

Pengendali TFC ll, Badrul Afzan Razali mengakui, persiapan pasukan agak terjejas apabila pemain import, Luke Woodland yang baru sahaja menyertai skuad 'The Turtles' musim ini tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan lutut.

"Woodland perlu ambil masa agak lama, sekurang-kurangnya enam minggu untuk sembuh daripada kecederaan.

"Mohammad Ridzuan Mohd Razali dan Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri juga tidak dapat diturunkan kerana masing-masing sedang menjalani hukuman selepas terlibat insiden pergaduhan ketika perlawanan persahabatan menentang Penang FC bulan lepas," katanya.

Bagaimanapun menurut Badrul Afzan, beliau sudah mempunyai calon pemain tempatan yang sesuai dari pasukan 'abang' iaitu Terengganu FC (TFC) bagi mengisi kekosongan di posisi berkenaan.

Justeru beliau mahu semua pemain tenang dan memberi fokus penuh kepada pertemuan sulung yang bakal menentukan momentum skuad untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Sasaran kami ialah untuk membaiki kedudukan dari tangga ketiga Liga Premier musim lepas kepada lebih baik tahun ini.

"Jadi kemenangan awal penting untuk naikkan semangat pemain bagi memburu kejayaan dalam setiap perlawanan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram