PERSIAPAN menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M) nampaknya serba tidak kena bagi pasukan Perak FC.
Selepas tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu berikutan larangan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang menyaksikan hanya 20 pemain dapat didaftarkan, Perak FC kini didakwa menghadapi masalah berkaitan jersi yang bakal digunakan musim ini.
Jenama sukan Itali, Lotto diumumkan sebagai penaja rasmi jersi Perak pada musim 2022 namun rekaannya masih belum didedahkan kepada umum.
Menurut laman Facebook penyokong Perak, Silver Retro, pemain Perak dijangka mengenakan jersi sama yang digunakan ketika siri perlawanan persahabatan pramusim.
Katanya, sehingga kini, pihak Lotto hanya memberi sepasang jersi latihan dan sepasang jersi untuk perlawanan persahabatan.
"Selebihnya kedua-dua pihak (Lotto dan IMC) hanya sekadar mendiamkan diri melihat apa yang akan berlaku.
"Bagaikan retak menanti belah dan sesuatu yang tersimpul mati seolah-olah sangat sukar untuk dileraikan oleh kedua-duanya," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.

Hantaran di Facebook Silver Retro.
Dakwanya lagi, sehingga ke hari ini, pasukan Belia dan Presiden Perak FC juga masih tidak mempunyai jersi latihan dan masih memakai jersi bebas.
"Bertungkus-lumus untuk menyelesaikan hutang siang dan malam sehingga pemain masih belum mempunyai jersi training pun tak sedar?
"Itu baru jersi training, belum lagi jersi untuk perlawanan... adakah IMC menetapkan perlu gilir-gilir pakai dengan pasukan Liga Perdana?
"Atau Lotto sendiri yang tidak peka dengan Liga Malaysia?" soalnya.
Perak FC bakal membuka tirai aksi Liga Premier menentang Kelantan United di Stadium Perak, Sabtu ini.
Majoriti kini cuba mendapatkan maklum balas daripada IMC dan Perak FC berhubung perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
