PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad mahu rakan sepasukan berwaspada dengan kemampuan Sarawak United FC untuk melakukan kejutan dalam aksi pertama Liga Super pada Jumaat, meskipun berdepan pertukaran ketua jurulatih pada saat akhir.
B Satiananthan telah dilantik selaku ketua jurulatih menggantikan E Elavarasan yang kini bersama skuad kebangsaan menyaksikan pasukan ini tetap bersedia dengan persiapan terbaik untuk perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.
Justeru, Syafiq yang dipinjamkan dari Johor Darul Takzim (JDT) menganggap perlawanan pada Jumaat pastinya lebih sukar dari dijangka, memandangkan ia merupakan aksi pertama Sarawak United dalam pentas Liga Super yang pastinya enggan kehilangan mata di laman sendiri.
Namun, sudah tentu anak buah Aidil Sharin Sahak ini mempunyai percaturan sendiri untuk tidak membiarkan pasukan tersungkur selepas melakukan persediaan rapi dalam pramusim ini.
"Rasa gemuruh, teruja dan semua ada sebab ini adalah perlawanan pertama dan mesti la Kedah pun ingin menang dalam aksi pertama ini.
"Kita tahu Sarawak United bertukar jurulatih pada penghujung pra musim, tetapi itu tidak bermakna apabila mereka tukar jurulatih, persiapan pasukan akan terjejas.
"Saya percaya persediaan mereka mungkin lebih baik, mana tahu kan lebih-lebih lagi beraksi di stadium sendiri dan ini adalah aksi pertama mereka dalam Liga Super, jadi Kedah tidak akan beri laluan mudah untuk cuba menang malam esok," jelasnya.
Dalam masa sama, pemain berusia 27 tahun ini menyifatkan misi utamanya apabila kembali ke Kedah bukan semata-mata untuk menjaringkan seberapa banyak jaringan, sebaliknya mahu mendapatkan rentak permainan yang lebih baik.
Musim lalu, Syafiq berjaya menjaringkan satu gol sahaja dan musim ini fokusnya adalah kepada pasukan terlebih dahulu sebelum mencipta peluang melakukan jaringan.
"Untuk awal-awal musim ini, saya hanya inginkan dapat rentak permainan dahulu sebab saya sudah lama tinggalkan pasukan ini.
"Kalau ada rezeki untuk menjaringkan gol, saya akan buat juga dan walaupun sebagai pinjaman, sudah tentu saya nak cuba capai balik apa yang pernah saya lakukan ketika bersama Kedah sebelum ini.
"Saya nak tingkatkan pencapaian diri dan Alhamdulillah selepas beberapa siri persahabatan sebelum ini, saya mula dapat balik keyakinan dan harapnya semua akan berjalan lancar musim ini," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram