Bayaran gaji tertunggak Perak FC ikut kontrak pemain


  • Podium
  • Khamis, 03 Mac 2022

PERAK FC berdepan isu tunggakan gaji pemain berjumlah RM1.7 juta sebelum ini. — Gambar hiasan

PERAK FC memberi jaminan akan membuat pembayaran gaji tertunggak kepada pemain skuad itu selewat-lewatnya Isnin depan.

Jaminan itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah selepas dimaklumkan pengurusan bahawa bayaran gaji dua bulan terakhir itu akan dibuat selewat-lewatnya pada 7 Mac seperti yang dinyatakan dalam kontrak masing-masing.

"Ia susulan laporan berkenaan gaji pemain yang tidak dibayar diperkatakan di media sosial malah kelab juga bercadang untuk menyelesaikan semua tunggakan bayaran atau sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama terlebih dahulu.

"Sementara pembayaran gaji kepada bekas pemain import akan dibuat sebelum akhir April seperti yang diberi jaminan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhammad Yunus berkata, ‘Lotto’ akan kekal menjadi penaja jersi rasmi pasukan skuad Bos Gaurus itu walaupun terpalit isu berhubung penggunaan jersi tersebut di media sosial.

Sementara itu dalam satu sidang akhbar pada Khamis, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri G. Irudianathan berkata, isu tunggakan gaji pemain berjumlah RM1.7 juta sebelum ini, sebahagiannya sudah dilangsaikan, dan bakinya akan dibayar selepas perlawanan pertama Sabtu ini.

"Gaji pemain kira-kira 70 hingga 75 peratus kami sudah lunaskan dan berkemungkinan akan melangsaikan baki bayaran selepas perlawanan akan datang. Gaji pemain (belum dilangsaikan) anggaran RM500,000 ke RM600,000,” katanya.

Selepas tersingkir dari Liga Super, Perak FC bakal bersaing dengan sembilan pasukan lain dalam Liga Premier dan bakal memulakan perlawanan menentang Kelantan United di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram