'Kita takkan biarkan saja mereka tergantung,' — CEO Perak FC


  • Podium
  • Jumaat, 04 Mac 2022

PERAK FC bakal menggunakan jersi yang dipakai ketika pramusim untuk empat atau lima perlawanan pertama. — Perak FC

RUNDINGAN mengenai penajaan jersi bersama Lotto yang lewat dilaksanakan menyebabkan Perak FC bakal beraksi tanpa jersi baharu dalam beberapa perlawanan pertama Liga Premier.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, jenama pakaian sukan Itali itu bagaimanapun tetap membuat keputusan untuk meneruskan penajaan walaupun kesuntukan masa untuk menghasilkan jersi baharu sebelum perlawanan pembukaan liga Sabtu ini.

"Kita ambil alih Perak FC agak lewat, menyebabkan perjanjian dengan Lotto diadakan sedikit lewat, ditambah pula dengan kegagalan penajaan bersama Kaki Jersi.

"Pihak Lotto maklumkan kepada kami bahawa mereka tidak dapat menyediakan jersi baharu sebelum musim bermula, jadi kita akan gunakan jersi yang dipakai ketika pramusim untuk empat atau lima perlawanan pertama.

"Jika dilihat, tempoh selepas lima perlawanan sudah hampir dengan jendela pendaftaran kedua (pada Mei), jadi kami ada bercadang untuk melancarkan jersi baharu pada waktu itu sambil memperkenalkan pemain-pemain tambahan yang bakal menyertai pasukan. Jadi mungkin separuh kedua musim kita lancarkan jersi baharu," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, Lotto akan mengeluarkan tiga rekaan jersi untuk The Bos Gaurus pada musim ini iaitu home, away dan juga jersi ketiga.

Menurut Muhammad Yunus, pihaknya optimis pemain-pemain berkenaan boleh didaftarkan menjelang jendela pendaftaran pemain kedua Mei ini dan yakin Perak FC dapat menyelesaikan sekatan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap kelab itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan bahawa skuad Piala Belia dan Piala Presiden Perak FC yang dikatakan terpaksa hadir ke sesi latihan menggunakan jersi bebas.

Menurutnya, Lotto buat masa ini menggantung tajaan jersi bagi skuad Piala Presiden dan Piala Belia Perak FC disebabkan penarikan diri pasukan daripada kedua-dua kejohanan berkenaan.

"Namun kita sedang berbincang dengan mereka mengenai perancangan kelab terhadap kedua-dua pasukan ini, contohnya kita mungkin akan menghantar mereka menyertai Liga KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) atau anjurkan sendiri kejohanan bawah 21 tahun peringkat nasional atau liga daerah.

"Kita takkan biarkan saja mereka tergantung, sudah tentu ada perancangan daripada pihak pengurusan dan kita sedang memikirkan jalan penyelesaiannya," katanya.

Perak FC sebelum ini mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan menghantar pasukan untuk bertanding dalam kejohanan Piala Belia dan Piala Presiden pada musim ini.

Mengenai pembayaran gaji dua bulan terakhir seperti yang diumumkan kelab dalam satu kenyataan pada Khamis, Muhammad Yunus berkata, ia melibatkan 35 pemain dan 16 kakitangan kelab yang bersama pasukan itu ketika ini.

"Keutamaan kita sekarang adalah untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain serta kakitangan yang berada di kelab ketika ini. Jumlahnya tidak sampai setengah juta," katanya.

Perak FC bakal membuka tirai aksi Liga Premier menentang Kelantan United di Stadium Perak, Sabtu ini.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram