Kim Swee belum pasti guna tiga tonggak import Sabah FC


  • Podium
  • Khamis, 03 Mac 2022

KIM Swee memaklumkan perkembangan pasukan Sabah FC menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan.

SABAH FC mungkin bermain tanpa tiga tonggak import ketika berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Likas di Kota Kinabalu malam Jumaat, akibat masalah kecederaan dialami pemain-pemain berkenaan.

Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata dua pemain import dari Brazil iaitu penyerang Neto Pessoa dan pertahanan Jackson De Souza, serta penyerang Taiki Kagayama dari Jepun dan beberapa pemain lain masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialami mereka.

"Kita masih mempunyai tempoh sebelum sepak mula Liga Super...paling penting kita harus melihat dari segi kecergasan mereka, sebelum memikirkan sama ada mereka akan diturunkan atau sebaliknya.

"Kita tidak harus memikirkan hanya perlawanan pertama atau kedua, tetapi perlawanan-perlawanan seterusnya kerana tempoh liga agak panjang. Saya perlu memikirkan jangka masa panjang untuk pastikan semua pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas pertemuan pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC, Kim Swee berkata, Sabah FC sudah bersiap sedia melayani kunjungan mereka nanti.

Beliau turut mengingatkan semua pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Negeri Sembilan FC, meskipun mereka baru dinaikkan ke Liga Super musim ini.

"Mereka mempunyai barisan pemain berkualiti sekali gus boleh menjadi ancaman menjelang pertemuan nanti. Begitu juga dengan pertemuan kedua pada 9 Mac 2022 menentang pasukan PJ City FC yang mempunyai gandingan pemain tempatan yang cukup berpengalaman,” tambahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram