AKSI pembuka tirai Liga Super 2022 berdepan Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching pada Jumaat bukan saja dianggap sebagai ujian sulung Kedah FC, malah tidak keterlaluan boleh dianggap sebagai KPI (petunjuk prestasi utama) buat penyerang import baharu Sang Kenari, Ronald Ngah Wanja bagi memikat hati seluruh penyokong skuad Hijau Kuning musim ini.
Ternyata, reputasi gah penyerang berusia 30 tahun itu selaku penjaring terbanyak Liga Pro Jordan 2021 dengan 15 gol daripada 20 penampilan bersama Al Salt SC, masih belum cukup untuk memikat hati majoriti penyokong The Red Eagle.
Meskipun berjaya mencetak enam gol, sekali gus muncul penjaring terbanyak Kedah dalam aksi pramusim 2022, aksi kurang konsisten Ronald yang dilihat agak 'berat' sebagai penyerang serta bergelut untuk meledak gawang gol lawan, sedikit sebanyak merisaukan peminat Hijau Kuning.
Tidak hairanlah, sejak kebelakangan ini mula timbul 'cakap-cakap nakal' dalam kalangan penyokong Sang Kenari betapa Ronald disifatkan sebagai 'pembelian gagal', malah ibarat 'langit dan bumi' jika dibandingkan dengan reputasi beberapa penyerang import Kedah sebelum ini seperti Jan Janostak, apatah lagi Marlon Alex James.
Namun, seorang peminat fanatik Sang Kenari, Faiz Rodzi tampil mempertahankan kredibiliti Ronald, sambil menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar penyerang import itu jika sekadar merujuk aksi pramusim Kedah setakat ini.
Meskipun mengakui prestasi Ronald tak memuaskan apabila tampak agak perlahan atas padang selain bergelut menemui sentuhan penyudah, dia menggesa penyokong Kedah supaya memberikan masa dan peluang buat penyerang kelahiran Cameroon itu membuktikan kemampuan terlebih dulu pada musim ini.
Pada masa sama, Faiz juga berharap supaya tidak membandingkan Ronald dengan dua bekas penyerang import Kedah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang terbukti kemampuan masing-masing ketika menyarung jersi Hijau Kuning sebelum ini.
"Dia (Ronald) bawak reputasi tinggi sebagai top scorer Liga Jordan, orang dengar reputasi gah dia saja tapi orang tak kenal dia sangat, jarang tengok dia main berbanding Kpah dan Kipre yang sememangnya dah dikenali dan dah lama kat Liga M.
"Tapi kena ingat Ronald Ngah ni first time main Liga M.. Liga Jordan dengan liga M tak sama.. pasukan berbeza, cuaca, liga pun berbeza, Double K (Kpah dan Kipre) dah lama di Malaysia mereka dah tau selok belok liga kita," tulisnya di Facebook ketika mempertahankan kredibiliti Ronald.
Cuma pada masa sama, Faiz turut berharap supaya Ronald dapat 'menutup mulut' pengkritik, sekali gus tidak mengikuti jejak langkah beberapa penyerang import yang 'tidak menjadi' ketika beraksi bersama Kedah sebelum ini.
"Kita sebagai peminat cuma boleh berharap Ronald bukan macam Hamidan (Mohammed), (Yahaya) Yakubu, James Monie, Vedran Gerc, Marco Manso, Cheyene Santos, George Jolevski dan (Carlos) Kahe yang indah khabar dari rupa.
"Kita hanya boleh katakan dia (Ronald) memang kurang form masa friendly, tapi kita tak boleh terus buat kesimpulan yang dia adalah pembelian merugikan, tak sesuai, tak bagus.
"Ia tak adil dan terlalu awal, bagi dia dua tiga game untuk sesuaikan diri di Malaysia ni.. Mana tahu dia jadi macam Jan Janostak, berkandaq gol dia bagi," jelasnya lagi.
Selepas bertemu Sarawak, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akan melayan kunjungan KL City di Stadium Darul Aman dalam aksi kedua Liga Super pada 9 Mac. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram