Pemain muda Harimau Malaya terkilan tapi positif


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jan 2022

MUHAMMAD Nur Azfar (tengah) mengakui sedikit terkesan dengan reaksi negatif dilemparkan terhadap skuad Harimau Malaya di media sosial. — Facebook FAM

IMPAK kontroversi yang melanda skuad kebangsaan susulan kegagalan di Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020 baru-baru ini, turut dirasai barisan pemain muda negara.

Apa yang menggusarkan, siri kejohanan yang bakal diharungi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan musim ini, antaranya Kejuaraan B-23 AFF dan Piala Asia B-23, meletakkan anak buah Brad Maloney sebagai ‘mangsa’ seterusnya jika gagal menghadirkan keputusan diharapkan penyokong.

Penyerang Terengganu FC II Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar mengakui sebagai pemain yang menyarung jersi pasukan negara, beliau sedikit terkesan dengan segala reaksi negatif dan kecaman melampau dilemparkan terhadap skuad Harimau Malaya di media sosial.

Namun, pemain berusia 22 tahun itu tetap menghormati hak penyokong untuk memberikan pandangan sambil menegaskan jika skuad kebangsaan tidak ingin dikecam, mereka perlu menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.

“Berdasarkan apa yang saya nampak, saya ambil yang positif saja. Biarlah mereka (penyokong) nak kecam apa pun, tugas kita senang, hanya satu iaitu balas dengan kemenangan. Kalau kita bagi kemenangan dan muncul juara, tiada lagi kecaman,” katanya.

Beliau yang ditemui pada hari pertama kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Khamis, turut berharap penyokong tidak terlalu mengikut emosi dalam melontarkan sebarang komen.

Menurutnya, setiap pasukan memerlukan kata-kata positif sebagai motivasi setiap kali turun beraksi.

“Tak semua orang faham bola sepak, di dalam dan luar padang lain. Mereka boleh cakap macam-macam tapi di padang, pemain sahaja tahu macam mana tekanannya. Saya harap semua terus menyokong pasukan negara. Kami pemain mengharapkan penyokong sentiasa bagi semangat,” katanya.

Turut senada adalah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Muhamad Alif Abdul Mutalib, yang menyifatkan segala bentuk kritikan keterlaluan tidak memberi faedah kepada pemain dan pasukan.

“Saya melihat dari sudut positif. Bagi kami hanya buat yang terbaik di padang, selebihnya apa penyokong nak cakap terpulang kepada mereka,” katanya yang juga mengharapkan sokongan positif daripada penyokong dan mengakui kepentingan mereka dalam membantu pasukan meraih kejayaan.

Muhammad Nur Azfar dan Muhammad Alif kini berada dalam kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini.

TAG: bola sepak, skuad B-23, kecaman, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Muhamad Alif Abdul Mutalib. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram