'Saya akan pergi bila tiba masanya'


  • Podium
  • Rabu, 26 Jan 2022

PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tekad tidak akan berundur daripada posisinya walaupun menerima tekanan daripada penyokong Harimau Malaya supaya berundur.

Beliau berkata, tugasnya bersama FAM masih belum selesai dan masih ada banyak lagi perkara yang mahu direalisasikannya untuk bola sepak negara.

"Bagi saya benda ini mudah, penyokong ada pandangan mereka dan saya juga punya pandangan tersendiri. Saya tak mahu panjangkan lagi perkara ini.

"Masih banyak lagi perkara yang saya mahu laksanakan dan perlu saya lakukan bersama FAM. Apabila tiba masanya, saya akan pergi," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, beliau dipilih untuk menerajui badan induk itu oleh ahli gabungan, justeru akan kekal bagi melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Pada Mac tahun lalu, Hamidin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, yang juga penggal keduanya selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.

Terdahulu ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat, beliau pernah meminta semua pihak supaya memberinya masa untuk memastikan Harimau Malaya kembali 'mengaum'.

"Saya baru tiga tahun pegang jawatan ini dan dua tahun sebelum ini, negara dilanda Covid-19.

"Saya tahu ramai netizen dan penyokong mendesak saya melepaskan jawatan. Untuk pengetahuan semua, saya baca semua kritikan tersebut terutamanya yang membina namun kritikan bersifat 'serangan peribadi' saya abaikan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram