Kontroversi kem Harimau Malaya berantakan tidak serius — FAM


  • Podium
  • Selasa, 25 Jan 2022

PERPECAHAN dalam kalangan pemain kebangsaan antara punca prestasi kurang memberangsangkan di Piala Suzuki AFF 2020. — Facebook

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan perpecahan dalam kelompok pemain kebangsaan ketika saingan Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember lalu bukan satu perkara yang serius.

Menurut Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, isu berkenaan boleh diselesaikan dan bakal memberi penekanan terhadap perkara tersebut dalam kem latihan Harimau Malaya akan datang.

"Saya dah hubungi beberapa pemain dan perkara-perkara yang saya janji untuk buat akan dilaksanakan.

"Saya rasa perkara ini biasa, apabila pasukan kalah, ada isu-isu seperti ini timbul.

"Kita sudah dapatkan pandangan beberapa pemain. Kita juga akan memastikan mereka yang bertanggungjawab menjaga para pemain untuk mengembalikan keharmonian pasukan semula," ujarnya kepada Majoriti.

Pada Jumaat lalu, Ketua Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan berkata, wujud perpecahan dalam kem pemain melibatkan pemain tempatan, pemain naturalisasi dan pemain kacukan.

"Wujud kurangnya (suasana) harmoni dalam pasukan semasa di Singapura (kerana) sudah ada tiga kumpulan iaitu pemain tempatan, pemain naturalisasi dan pemain kacukan.

"Ini yang dilaporkan oleh pemain apabila kita wawancara mereka. Tetapi mengikut mereka juga, kurang ada usaha untuk membetulkan semula keadaan.

"Bila ada tiga kumpulan yang berasingan dalam pasukan, ini tidak bagus untuk semangat berpasukan," katanya sewaktu sidang media laporan bedah siasat kegagalan skuad Harimau Malaya di kempen Piala Suzuki AFF 2020 pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram