PELANTIKAN jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, mencetuskan polemik dalam kalangan para peminat bola sepak.
Itu berikutan sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendakwa kekurangan dana untuk melantik jurulatih asing.
Namun, cadangan Pengarah Teknikal baharu FAM, Scott O'Donell yang mahu Harimau Malaya dibimbing oleh jurulatih asing bagi mempertingkatkan lagi kualiti skuad kebangsaan diambil perhatian oleh badan induk bola sepak negara itu.
Selepas pelbagai desas-desus tentang calon sesuai untuk mengambil alih peranan berkenaan, akhirnya Pan-gon sah diumumkan oleh FAM sebagai ketua jurulatih baharu dengan kontrak dua tahun tambahan dua tahun sekiranya prestasi memberangsangkan.
Ketika ditanya tentang nilai bayaran diberikan oleh FAM kepada Pan-gon, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mendedahkan jumlah sebenar gaji sebenar jurulatih Korea Selatan itu.
"Biarlah perkara itu menjadi rahsia. Tapi buat masa ini, kami fikir beliau merupakan individu yang boleh membawa pasukan Malaysia.
"Kami menilai ramai calon namun ada yang mengemukakan permintaan yang kami sukar penuhi. Ada calon yang mahukan kontrak selama empat tahun, kita pun tak mahu ambil risiko sangat.
"Ada calon yang minta bayaran terlampau tinggi, jadi semua faktor ini kita kena kaji. Ketika ini, beliau (Pan-gon), dengan pengetahuan dan beliau pun sudah berada dalam sistem Korea Selatan sejak Piala Dunia terakhir dan Piala Dunia akan datang," katanya kepada Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram