FAM tidak tutup pintu untuk Jaami


  • Podium
  • Khamis, 27 Jan 2022

JAAMI memilih Iraq berbanding Harimau Malaya. — Facebook

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya tiada usaha untuk memastikan pemain naturalisasi negara yang berpangkalan di England iaitu Jaami Qureshi, diberi peluang beraksi mewakili pasukan kebangsaan.

Ujar Setiausaha Agung FAM, Mohd Saiffudin Abu Bakar, pihaknya sudah berkomunikasi secara terus dengan bapa pemain berkenaan, Perviz Qureshi serta pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling untuk membawa bakat muda tersebut ke pusat latihan skuad Bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC B-19 yang sepatutnya diadakan pada 2020.

"Perviz juga pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam membincangkan status anaknya pada 2020.

"Beliau mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih, Brad Maloney ketika itu," kata Mohd Saifuddin menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada 18 Januari.

Namun, Perviz menolak kenyataan dikeluarkan oleh FAM tersebut.

“Saya baca kenyataan FAM, dan saya rasa ia lari daripada konteks. Mereka tidak menghubungi saya sejak dua tahun lalu dan tidak menunjukkan minat terhadap Jaami.

“Bukan saja Jaami, pemain lain yang kamu kenali seperti Richard Chin, Isaac Angking, Kobe Jae Chong, Josh Belcher dari Jerman.

“Tiada sesiapapun yang berkomunikasi bukan saja kepada Jaami tetapi kepada pemain lain.” Jelas Perviz seperti dilaporkan oleh media tempatan sebelum ini.

Ketika ditanya sama ada FAM akan membawa Jaami ke skuad senior Harimau Malaya, badan induk bola sepak negara itu tidak menolak kemungkinan berkenaan.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, apa pun isu yang berlaku antara FAM dan Jaami bukan penyebab untuk terus 'menutup pintu' bagi pemain itu mewakili skuad kebangsaan.

"Maloney atau mana-mana jurulatih baharu akan terus memantau perkembangannya.

"Kena ingat ketua jurulatih baharu (Kim Pan-gon) mungkin akan menggunakan ramai pemain bawah 23 tahun (B-23) dalam skuad senior, sama ada Jaami atau sesiapa pun.

"Saya beri ruang kepada Pan-gon untuk pilih siapa beliau nak, apa yang beliau perlukan. Cuma penanda aras kami adalah FAM mahu keputusan yang baik," katanya kepada Majoriti.

Tambah Hamidin, FAM akan memuktamadkan berhubung cadangan untuk meneruskan atau menangguhkan program naturalisasi dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

"Saya tunggu laporan daripada Naib Presiden, Datuk S. Sivasundaram dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

"Mungkin kalau kita teruskan, FAM akan letak syarat seperti pemain itu tidak boleh tua atau perlu menetap di Malaysia selama tujuh tahun.

"Mungkin juga FAM tak teruskan tetapi kami masih beri kebenaran untuk kelab meneruskan program naturalisasi ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram