Bukan saya 'tangan ghaib' — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 27 Jan 2022

TMJ menegaskan beliau bukan tangan ghaib dalam kegagalan skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020, sebaliknya ada beberapa pihak yang lepas tangan.

SUSULAN kegagalan skuad kebangsaan dalam Piala AFF 2020, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim membongkarkan persoalan tentang kemungkinan ada campur tangan oleh 'tangan ghaib' (hidden hand) dalam pemilihan skuad kebangsaan ke kejohanan itu.

TMJ dalam satu siaran langsung bersama Astro Arena pada Khamis berkata, beliau bukan 'tangan ghaib' dalam kegagalan skuad kebangsaan tetapi ada beberapa pihak yang didakwa lepas tangan.

"Bukan saya yang tangan ghaib tapi saya yang kena tuduh oleh penyokong.

"Kegagalan dalam piala AFF semua terlibat dan semua bertanggungjawab. Saya tahu apa yang berlaku. Bagi saya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih dengan media dan penyokong pun terlibat sama dalam isu ini," kata TMJ.

Bagi TMJ, kegagalan Piala AFF 2020 ialah jadual kejohanan itu sendiri yang mana jadual tidak diuruskan dengan sebaiknya dan TMJ turut berpendapat FAM seharusnya perlu ada ada sasaran yang jelas untuk setiap tahun.

"FAM ubah perancangan pada saat akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura apabila hantar skuad senior berbanding pelan asal iaitu pertaruhkan skuad B23 negara hingga menyebabkan isu pemain tidak bersedia.

"Pemain bukannya robot, pemain juga manusia biasa yang ada perasaan. Mereka ada rancangan sendiri," katanya.

Selain itu, TMJ juga mempersoalkan seharusnya pihak FAM dan jurulatih memberitahu kepada pihak media mengenai keadaan pemain kebangsaan agar penyokong tahu dan tidak menyalahkan sesiapa.

"Tan Cheng Hoe tidak jelaskan keadaan sebenar membabitkan ketiadaan beberapa pemain utama seperti Matthew Davies, Corbin Ong, Natxo Insa dan Syamer Kutty. Badan induk tidak terbuka dengan situasi berkenaan.

"Saya bukannya campur tangan tetapi hanya memberi pandangan. Saya tiada hak untuk campur tangan dalam isu ini tapi pihak FAM kena hormat, kami ambil tahu kerana pemain kelab kami bermain untuk pasukan kebangsaan," katanya.

Malah, dia juga mendedahkan terdapat seorang pemain yang jadi 'jurulatih' dengan menunjukkan taktikal dan set pieces di papan putih dalam bilik persalinan sekali gus menyerlahkan kelemahan jurulatih pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, saat ditanya mengenai jurulatih baharu Harimau Malaya, TMJ menegaskan supaya beri kebebasan untuk Kim Pan-gon mengatur strategi untuk melatih pasukan kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram