PERSELISIHAN pendapat antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim nampak gayanya tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Ini kerana, kedua-dua figura itu dilihat saling berbalas komen di laman Instagram rentetan kenyataan terbuka TMJ yang menyifatkan Teong Kim tidak cukup layak menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya.
Pada masa sama, Teong Kim menafikan dakwaan Tunku Ismail bahawa beliau meminta gaji setinggi €70,000 hingga €80,000 (RM300,000 hingga RM340,000) sebulan.
Menerusi satu komen di laman Instagram @pemainke12_my, Teong Kim yang juga bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu tidak menunggu lama untuk menjawab dakwaan tersebut.
TANGKAP layar komen Teong Kim dan Sultan Ismail yang bertikam lidah di laman Instagram
"Sorry Tunku, apa yang kamu kata tidak benar," kata Teong Kim.
Pada masa sama, TMJ membalas kembali komen terus di dalam ruangan sama.
"Teong Kim, I do not do b*******. Jadi, jangan nak temberang. Pihak kewangan kami tahu berapa banyak yang kamu minta.
"Bila saya tanya kenapa mahal sangat. Awak jawab jikalau saya mampu beli Lamborghini takkan gaji tu saya tak mampu. Itu apa yang awak cakap. So please jangan nak twist (putar belit)," bidas Tunku Ismail.
Menafikan sekali lagi dakwaan itu, Teong Kim kemudiannya tampil menjelaskan perkara itu.
TANGKAP layar komen Teong Kim menafikan dakwaan Tunku Ismail di laman Instagram
"Tidak benar, saya tidak ingat bercakap dengan finance team (pihak kewangan). Saya tahu dan ingat bercakap dengan Tunku. Dan apa kena mengena tentang kegagalan national team (pasukan kebangsaan) dengan saya?
"Saya nak tanya Tunku, did I apply for the national job? For your info. Guardiola and Thomas Tuchel also started from youth teams and many more coaches in Europe. And I am qualified UEFA professional licence holder (adakah saya memohon menjadi jurulatih kebangsaan? Untuk pengetahuan, Guardiola dan Thomas Tuchel juga bermula sebagai jurulatih skuad belia, begitu juga dengan ramai lagi jurulatih lain di Eropah. Saya juga memiliki lesen jurulatih profesional UEFA)," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram